My Precious Iris




Penulis  :  Melur Jelita
Negara  : Malaysia
Bahasa  :  Melayu
Genre    :  Malay Fiction / Cinta
Penerbit :  Karya Seni
Bilangan Mukasurat : 1001
Tarikh Terbitan : April 2013
ISBN : 978-967-0246-48-2
Rating :
Ulasan :

Alhamdulillah akhirnya aku berjaya habiskan baca buku ini . Pendapat peribadi aku karya sentuhan Melur Jelita yang terbaru kali ini memang yang paling terbaikkkk dan 'meletopsss' yang pernah aku baca. Membaca setiap baris ayat dari buku ini memang sungguh memilukan dan menyayat hati aku dan berjaya membuatkan aku menitiskan airmata tanpa henti. Penceritaan kali ini aku rasakan lebih padat, lebih berbisa dan terkesan hingga ke lubuk hatiku yang dalam. My Precious Iris (Mypi) adalah sambungan kisah dari "I Love U Stupid" (ILUS), kali ini aku rasakan pengisian yang cuba diketengahkan lebih kepada melayari bahtera ikatan perkahwinan yang penuh ranjau dan duri.  Memang mudah membina ikatan dua jiwa, tetapi melaksanakan amanah Allah itu tidak semudah yang disangkakan. Yang pastinya setiap rasa kasih dan cinta itu pasti akan diuji sama ada kita bersedia atau tidak. Cinta suci yang hadir antara Firman dan Iris sebenarnya adalah jodoh yang telah ditetapkan oleh Allah untuk mereka dan apa yang buatkan aku rasa sangat bahagia apabila akhirnya Firman dan Iris diijabkabulkan menjadi pasangan yang halal.

Dalam 40 episod pertama aku telah dibuaikan dengan saat-saat indah dan bahagia pasangan ini TAPI selepas itu bermulalah episod sedih yang tidak ku sangka dugaan demi dugaan yang tak dapat digambarkan berat ditanggung oleh pasangan ini membuatkan aku terkena tempias yang paling hebat sekali. Perasaan hatiku turut sebak dan pilu seperti di hiris merasakan keperitan dan kesengsaraan Iris sehinggakan dari episod 40 hingga seterusnya air mataku menitis laju di setiap baris ayat yang ku baca...menangis teresak-esak tak tertahan dan sebak rasa hatiku ini sehingga membuatku terfikir panjang jika aku berada di tempat Iris mampukah aku menempuh ujian yang sehebat dan seberat ini ??? Aku sungguh tersentuh dengan cinta murni dan ketulusan kasih Firman kepada Iris dalam mempertahankan mahligai yang dibina. Setiap insan bergelar isteri pastinya mendambakan suami seperti Firman ini. Padaku watak Firman ini cukup sempurna dari pelbagai sudut. Hanya kasih sayang yang berpaksikan iman yang kuat mampu menghadapi dan menangkis segala sudut dugaan yang datang.

Di sebalik kisah yang sungguh meruntun jiwa ini, aku cuba menghayati mutiara indah yang cuba disampaikan oleh penulis bahawa ajal, maut dan jodoh setiap makhluk yang ada di muka bumi ini semuanya telah ditentukan oleh Allah. Oleh itu kita seharusnya sentiasa berdoa, berusaha dan bertawakal kepadaNya. Berkasihlah dengan pasangan yang halal, menerima kekhilafan pasangan, bersabar, redha dan jangan pernah mengeluh dengan setiap ujian dan dugaan yang datang dan yakinlah pada Allah. Sesungguhnya setiap apa yang berlaku pada kita itu pasti ada hikmah yang terindah di sebaliknya. Dalam karya ini juga penulis berjaya meletakkan unsur suspen yang menyebabkan aku terasa sungguh kehilangan Firman watak hero pujaan hatiku ini. Adalah tidak adil bagi penulis hebat pujaan hati ku ini, jika aku terus memberikan ulasan yang terlalu lengkap...cukuplah sekadar berkongsi sedikit rasa hatiku ini...untuk mengetahui bagaimana kesudahan cerita selanjutnya, adalah lebih baik jika membaca karya agung ini sendiri dan cuba hayati dan selami mesej dan mutiara indah yang tersirat di sebalik kisah kasih sayang yang syahdu ini.

Setinggi-tinggi perhargaanku dan ucapan terima kasih yang tak terhingga kepada kak Melur Jelita kerana telah berjaya menghasilkan karya yang sungguh hebat sehingga menggetarkan seluruh jiwa ragaku. Apa yang pasti kak Melur Jelita telah berhasil membuatkan aku membaca buku ini bukan hanya dengan mata hatiku dan mata akalku sahaja malah seluruh pancainderaku, membaca buku ini dengan penuh deraian air mata yang bukan sahaja buatku lebih bersyukur dan mensyukuri di atas nikmat dan apa yang aku ada disekelilingku, juga membuatkan aku lebih menginsafi kekhilafan diri ini. Namun setelah membaca karya ini aku tersenyum puas kerana rama-ramaku telah menggepak dengan kegembiraan dan menyelitkan sesuatu yang cukup indah dan mendamaikan.


 " Demi waktu, di bawah langit-Mu, aku akui nikmat-Mu "




No comments:

Post a Comment