Saya Tunggu Awak




Penulis  :  Bonda Nor
Negara  :  Malaysia
Bahasa  :  Melayu
Genre    :  Malay Fiction / Novel Tarbiah
Penerbit :  Galeri Ilmu Sdn Bhd
Bilangan Mukasurat : 633
Tarikh Terbitan : October 2013
ISBN : 978-983-097-445-3
Rating : ★★★★★





Ulasan :

Syukur kepada Allah swt kerana dengan izin-Nya aku telah diberi kesempatan sekali lagi untuk menghayati mutiara indah dari karya yang sungguh hebat ini. Karya ini merupakan karya pertama penulis hebat ini yang baru aku baca dan terus terang aku katakan " this is the best Islamic novel that I've ever read and its really worth to buy it ". Novel ini aku kira paling unik berbanding dengan novel-novel lain yang pernah aku baca setakat ini, kerana penulis ini bukan sahaja berjaya menyingkap kisah seorang ustazah malah berjaya mengangkat cerita ini untuk dijadikan sebagai iktibar dan panduan hidup pembacanya. Juga secara tidak langsung, penulis juga berjaya mentarbiah pembaca bagaimana cara untuk meningkatkan kualiti iman dalam mengharungi hidup berumah tangga yang penuh dengan dugaan dan cabaran.  Selain itu, penulis juga banyak menyelitkan ayat al-Quran, sabda Nabi dan kata-kata mutiara para ulama muktabar yang sekaligus menjadikan novel ini amat berbeza sekali dengan novel yang lain di pasaran.  Pendapat peribadi aku, karya ini merupakan antara karya yang paling terbaikkkkk pengisiannya yang pernah aku baca setakat ini. Membaca setiap baris ayat dari buku ini memang sungguh memilukan dan menyayat hati aku, menginsafkan dan berjaya membuatkan aku menitiskan airmata tanpa henti dan sungguh terkesan hingga ke lubuk hatiku yang paling dalam. Sejujurnya aku mengakui dan menginsafi kekhilafan diri ini, tanggungjawab yang diamanahkan kepada seorang wanita yang bergelar isteri tidak semudah yang disangkakan. Terlalu banyak ujian dan dugaan duniawi yang perlu aku tempuhi dan pelajari dalam melayari bahtera rumah tangga yang penuh pancaroba ini sehingga terkadang aku juga merasakan tempias yang tidak kurang hebatnya.

Mengisahkan tentang Ustazah Hanna Mardhiah mempertahankan rumah tangga yang dibinanya bersama suami tercinta Farhan  dengan dua orang cahaya mata.  Hanna yang bertugas sebagai pensyarah di Universiti al-Quran Malaysia (UAM) terpaksa berhadapan dengan anak muridnya yang bernama Rafiq Aqlan yang telah menunjukkan minat padanya dan telah mencurahkan rasa cintanya pada Hanna. Walaupun Hanna tidak membalas cinta tersebut, namun Hanna cuba melawan pergolakan dalam jiwanya dan berusaha dengan bersungguh-sungguh serta memohon petunjuk dan pertolongan daripada Allah swt agar tidak terus hanyut dengan godaan itu. Pelbagai ujian dan dugaan yang terpaksa Hanna harungi walaupun setelah kematian suaminya yang tercinta, Hanna terus melawan pergolakan jiwa dan ujian tersebut sehinggalah ke nafasnya yang terakhir.

Di sebalik kisah yang sungguh meruntun jiwa ini, aku cuba menghayati mutiara indah yang cuba disampaikan oleh penulis bahawa ketentuan Allah tidak berlaku selari dengan impian manusia. Setiap ujian ada tempoh tamatnya.  Kekecewaan yang dirasai pada ketika ini akan pudar ditelan masa.  Sebagai seorang Muslim, kita perlu berpegang teguh pada Rukun Iman. Qada' dan Qadar Allah adalah satu perkara yang perlu diyakini. Di sebalik semua ketentuan pasti ada hikmah yang tersembunyi. Sememangnya Allah sentiasa mendahului segala perancangan dan sebagai manusia kita harus pasrah menerima aturan takdir-Nya.  Kekecewaan yang pernah kita lalui mungkin akan menjadi satu nikmat yang akan kita syukuri satu masa nanti.

Subhanallah. Setinggi-tinggi penghargaanku dan ucapan terima kasih yang tak terhingga kepada Bonda Nor kerana telah berkongsi karya hebat ini dan berjaya menghasilkan karya yang sungguh unik dan mantap sehingga menggetarkan seluruh jiwa dan ragaku. Apa yang pasti " Saya Tunggu Awak - dalam hidup ini tidak ada istilah kebetulan. Setiap perkara yang berlaku akan menjadi asbab kepada perkara yang lain pula ".  Ya Allah kuatkan imanku dan bimbinglah aku untuk menjadi isteri yang solehah.  Mudah-mudahan Allah akan pandu kita semua melayarkan bahtera rumah tangga kita ini hingga ke syurga, insya-Allah.




Allah swt berfirman :

" Sesungguhnya , tidak ada satu musibah pun yang menimpa di muka bumi dan tidak pula pada dirimu melainkan telah tertulis di dalam kitab (Lohmahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sungguh, yang demikian itu sangat mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) agar kamu tidak berdukacita terhadap apa yang luput daripadamu dan supaya kamu tidak terlalu bergembira terhadap apa yang Dia berikan  kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri. " ~ (Al-Hadid 57: 22-23)




Anthem



Penulis  :  Hlovate
Negara  :  Malaysia
Bahasa  :  Melayu
Genre    :  Malay Fiction
Penerbit :  Jemari Seni Publishing
Bilangan Mukasurat : 593
Tarikh Terbitan : May 2013
ISBN : 978-967-0508--26-9
Rating : ★★★★★
 

Ulasan :

Lega rasanya terasa macam aku ni baru lepas habis marathon pulak baca buku tak henti-henti...dan lepas sudah 'geram' aku 'pulun'  baca berturut-turut buku Hlovate ni.

Tajuk 'Anthem' membuatkan aku tertanya-tanya apa kaitan dengan isi perut buku ni dan apa pulak yang nak disampaikan oleh penulis kali ni. Apa yang aku faham 'National Anthem' lagu 'Negaraku' ??? Selepas aku 'khatam' buku ini, aku rasa buku ni lebih kurang sama seperti 'Contengan Jalanan' agak berat sedikit berbanding dengan buku-bukunya yang telah aku baca sebelum ni. Dalam karya kali ini, penulis cuba mengupas apakah makna syahadah dalam diri setiap umat islam itu sendiri. Sebagai yang lahir sebagai seorang Muslim, adakah kita benar-benar faham maksud syahadah ? Adakah kita mengamalkannya di dalam kehidupan kita seharian dengan berpandukan hadis dan Al-Quran ? Sejujurnya setelah membaca karya hebat ini, ia berjaya membuatkan aku termenung sendiri, banyak memikir dan bertanya apakah anthem aku sebenarnya ?
 " My anthem, is my syahadah. Jadilah adamantium ".

Kisah perjalanan hidup seorang remaja Nur Dania Dashrin (Dash) yang dibesarkan di perantauan bersama adiknya Haikal, mama dan ayahnya yang bekerja sebagai diplomat di luar negara secara tidak langsung telah memberi acuan pada dirinya dan membentuknya dengan kehidupan yang bebas. Untuk menyelamatkan Dash dari terus terjerumus dan hanyut dengan budaya barat, mama dan ayah Dash telah menghantarnya pulang dan meneruskan persekolahan  di Malaysia setelah terjadi satu insiden.  Dash yang pada mulanya tidak dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan di Malaysia akhirnya menyambung pelajaran di Malaysia setelah tamat SPM. Kehidupan Dash mula berubah setelah pelbagai peristiwa terpaksa dilaluinya semasa bersekolah di Malaysia, perkenalannya dengan ' Lee Hitler ' senior di sekolah menengah, rakan-rakan band sekolah menengah, di rumah mama dan ayahnya di Chanakyapuri, India dan kehidupannya di University of Aberdeen.  Dash mula berubah dari seorang gadis yang 'third-culture kid' yang 'rebel' berhantu menjadi seorang gadis yang jati diri seorang Muslim yang berpegang kepada Islam. Dash juga telah berjaya menyedarkan ' Lee Hitler ' berubah menjadi seorang Muslim yang sebenar. Mereka kemudiannya sama-sama berusaha membetulkan diri masing-masing menjadi pasangan yang beriman, saling melengkapi dan membahagiakan dan kembali mendekatkan diri dengan penciptaNya iaitu Allah swt.


Secara peribadi, aku rasa karya ini memang hebat dan terbaik yang pernah aku baca. I'm speechless you know, no words to describe that... Terima kasih ya Allah kerana memberi ku kesempatan ini..Alhamdulillah kerana dengan izinMu ya Allah, sekali lagi aku dapat menghayati mutiara indah dan maksud tersirat yang cuba disampaikan oleh penulis hebat ini. Pengisian yang cukup padat dan mantap ini memang membuatkan aku tersedar dan menyedarkan aku, mengajar aku erti pengajaran yang sebenar dan membuatkan aku menginsafi diriku sendiri.  Syabas dan tahniah Hlovate kerana berjaya menghasilkan karya yang membuatkan aku terkesan hingga ke mata hati dan mata akalku yang paling dalam. Teruskan usaha-usaha dakwahmu ini dengan karya yang bukan sahaja dapat mendidik malah dapat menyedarkan dan seterusnya mengajak pembaca untuk sama-sama mencari jati diri sebagai seorang Muslim dan mendekatkan diri kepada penciptaNya. Sebagai seorang Muslim, marilah kita sama-sama membimbing saudara-saudara kita menjadi seorang Muslim dalam redha-Nya insya-Allah.


Hayati mutiara indah yang tertulis di dalam karya hebat ini :-

" Everybody has a past
 Everybody lives a present
And everybody deserves a future
No judging on one's past
because it might be your future "




Versus





Penulis  :  Hlovate
Negara  :  Malaysia
Bahasa  :  Melayu
Genre    :  Malay Fiction
Penerbit : Jemari Seni Publishing
Bilangan Mukasurat : 432
Tarikh Terbitan : 2010
ISBN : 978-967-5118-33-3
Rating : ★★★★★





Ulasan :

Nampaknya bulan ini aku semacam melekat terus dengan karya Hlovate... I'll be the greatest fan of your books Hlovate.

Versus bermaksud berlawanan, bertentangan dan dalam karya ini penulis mengupas dan memperlihatkan kepada kita apakah yang akan kita lakukan apabila kita harus menentang diri kita sendiri dan cuba melawan kebiasaan kita. Seperti dua karya terdahulu yang telah ku baca sebelum ini, karya ini juga tidak lari dari persoalan yang sama iaitu mengajak kita merenung dan muhasabah diri untuk berubah menjadi individu yang lebih baik. Tetapi dalam karya ini, penulis lebih menekankan apakah definisi baik itu pada diri kita sebenarnya. Adakah dengan hanya cukup solat lima waktu itu kita sudah dikira baik ? Adakah dengan hanya melakukan perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah swt kita sudah dikira baik ? Setiap orang mempunyai definisi yang berbeza dari pelbagai sudut. Menjadi baik sahaja tidak cukup, malah berusaha berubah untuk menjadi lebih baik juga tidak semudah a,b,c...apatah lagi untuk meninggalkan perkara-perkara yang sudah terbiasa kita buat.

Kisah tentang dua individu Minn Edina (Minn) dan Ashraff Omar (AO) yang berperang melawan diri sendiri untuk mengubah diri menjadi insan yang lebih baik dari sebelumnya. Penulis berjaya memperlihatkan bagaimana kepayahan Minn 'berperang' melawan perasaan, jiwa dan keinginannya apabila terpaksa meninggalkan dunia skaters dan mengubah diri daripada pemain skate yang cukup terkenal dengan nama Ed'Sassin kepada Minn Edina. Berbeza dengan AO juga pemain skate, setelah mengenali mentornya Minn Edina yang selama ini diminatinya dari jauh telah berjaya mengubah AO untuk berubah memperbaiki diri menjadi baik. Namun AO kemudiannya mula menyedari perubahan yang dilakukannya itu  bukanlah perubahan yang hakiki.  Semasa menyambung pengajiannya di Australia, AO telah menemui definisi erti hidup dan erti diri yang sebenar iaitu kebenaran yang dicari-carinya selama ini, perubahan sebenar yang diingininya itu untuk menjadi seorang hamba Allah yang beriman di dunia dan akhirat. 

Pendapat peribadi aku, setelah membaca tiga karya penulis ini, aku rasa karya ini antara yang terbaik yang pernah aku baca selepas ' Contengan Jalanan ' & ' aA + bB '. Alhamdulillah kerana dengan izinNya sekali lagi aku dapat menghayati mutiara indah dan maksud tersirat yang cuba disampaikan oleh penulis ini dan banyak pengisian yang memberi kesedaran, pengajaran dan keinsafan kepada aku sesudah membaca karya ini. Gaya penulisan dan pengolahan cerita memang harus aku puji  ' SUPERB '.  Aku suka dengan cara penulis berdakwah dan mendidik pembaca dengan cara yang amat halus dan cara yang tersendiri dengan mengolah dan mengupas perjalanan watak dan plot cerita dengan begitu baik sekali sehinggakan aku terasa dan merasakan tempias dua watak utama dalam karya ini seperti mengena pada ' batang hidungku '  sendiri.  Perasaan cinta dan kasih sayang yang ditonjolkan dalam karya ini amat syahdu sekali walaupun tanpa ayat dan perbuatan  yang berbunga-bunga namun aku seperti terasa ' kepedasan ' dan kehadirannya. Malah tidak salah untuk kita merasai cinta yang dianugerahkan oleh Allah swt asalkan kita perlu tahu di mana batas-batasnya sebagai seorang muslim dan sama-sama mencari kebahagiaan di bawah lembayung rahmat dan kasih sayang-Nya.


Sejujurnya aku mengakui bukan mudah untuk berubah menjadi lebih baik. Susah sebenarnya untuk melawan fitrah sedia ada tetapi itulah dugaan yang perlu kita tempuh apabila kita cuba berusaha ke arah yang lebih baik. Namun jangan pernah putus asa dan teruskan berjuang melawan sisi buruk yang ada dalam diri kita. Yakinlah Allah sentiasa membantu hambanya yang ingin berubah dan insya-Allah akan dipermudahkan dan diberikan jalan untuk ke arah itu.. Tahniah dan terima kasih Hlovate kerana karya yang sungguh terkesan di mata hati dan mata akal ku dan membuatkan aku terus berfikir dan memikirkan tentang definisi ' baik ' bagi diriku sendiri. Semoga kita sama-sama dapat berubah menjadi seorang muslim dengan redha-Nya insya-Allah.

Hayati mutiara indah yang tertulis di dalam karya hebat ini :-

" ...berubahlah walaupun payah, 
berubahlah ke arah hidup yang lebih indah, 
hidup dan masa muda sekali cuma, 
sanggup nak sia-siakan tanpa redha-Nya ? ..."

"...bukan mudah untuk berubah dari tanpa arah ke sejadah,
dari tepi jalanan ke sujud menghadap Tuhan..."



aA + bB




Penulis  :  Hlovate
Negara  :  Malaysia
Bahasa  :  Melayu
Genre    :  Malay Fiction / Cinta
Penerbit :  Jemari Seni Publishing
Bilangan Mukasurat : 495
Tarikh Terbitan : 2008
ISBN : 978-983-43217-9-6
Rating : ★★★★★







Ulasan :

' Contengan Jalanan ' merupakan karya pertama penulis misteri ini yang telah aku baca dan menjadi koleksi pertamaku walau pun aku kira aku sudah ' agak ketinggalan keretapi ' sebenarnya untuk mengikuti karya-karyanya yang lain sebelum ini yang memang sering diperkatakan di dalam dunia penulisan. Namun ' better late than never ', karya penulis ini serasa serasi dengan jiwaku dan entah kenapa jiwaku ini terus mengelocak seperti terpanggil untuk terus ' membedah siasat ' karyanya yang terdahulu pula.

Pertama kali aku tengok tajuk aA + bB  aku rasa macam pelik je, comel pun ada jugak, macam cerita budak sekolah je sebab yelah cetakan pertama novel ni pada tahun 2008 dan sudah berbelas-belas kali dicetak. Walhal aku ni baru je baca pada tahun ini dan aku ni pulak dah masuk ' geng 30-an ' dahhh. ...he he he..macam kartun...kan. Dalam karya ni gaya penggunaan bahasa yang digunakan sempoi jer, agak santai, tak terlalu berbunga, tak peningkan kepala aku nak fikir lebih-lebih dan memang bersesuaian sebagai pembacaan remaja. Plot cerita yang menarik. Kupasan jalan ceritanya tidak terlalu berat tapi perlu memahami jalan cerita dengan bersungguh-sungguh sebab kalau tak dapat memahami dan menjiwai watak dalam buku ni memang agak susah sikit nak faham jalan cerita dan maksud tersirat yang cuba disampaikan penulis tapi banyak elemen yang mampu menyentuh dan memberi tindak balas kepada aku. Banyak mencampur adukkan penggunaan bahasa inggeris. Banyak bahasa slanga yang agak selamba digunakan seperti  "Tarappappa" (Tak ada apa-apa) atau "Hailaaaa" (Alahai). Teringat ayat-ayat ini masa bergelar pelajar dan remaja zaman persekolahan suatu ketika dulu tu, terasa pulak semakin tua aku ni...


" Karya ini menceritakan tentang Nur Addin Shah belajar mengenal diri dengan perjalanan bersama masa. Cerita Benz Alif Sulaiman mengenal apa yang dicari dalam hidup dengan perjalanan bersama usia. Sama-sama mereka pernah menjadi 'a' dan 'b' yang masih 'kecil' di usia muda remaja di zaman sekolah yang penuh gelak ketawa riang ria. Sama-sama juga mereka menjadi 'A' dan 'B' yang telah 'membesar' dengan usia menjadi dewasa. Dan sama-sama menerima kenyataan yang pembelajaran bukan hanya terhenti di pagar sekolah semata. Hidup mengajarkan pengalaman di luar syllabus yang kurikulumnya tak tertulis nyata di mana-mana "

Cinta itu, jatuh dari langit atau jatuh dari hati? ~ Addin

Inilah... sebuah kisah perjalanan; perjalanan bersama masa; perjalanan cerita aA + bB. Semua orang belajar, semua orang membesar; tetapi tidak semua orang menjadi dewasa. Selagi hidup bersama masa, maka selagi itu juga yang hidup itu dewasa bersama usia.

Addin mengemukakan teorinya begini:

1. membesar dan belajar dengan pengetahuan serta pengalaman adalah suatu cabaran
2. membesar dan belajar tentang hidup serta mengenal diri sendiri adalah suatu hakikat yang tidak dapat dielak

7 tahun kemudian...

Apa yang terjadi apabila doktor 'Dr' dipaksa berkahwin dengan jurutera 'Ir' , yang bukan pilihan hatinya?Apa yang terjadi kalau sang kepala batu dan sang keras kepala itu harus tinggal sebumbung?
Cerita ‘cinta’ antara Addin dan Benz, tidak semudah A + B = Aman Bahagia. Ini kerana sejarah mereka bermula lebih awal dari itu. Mereka pernah saling membenci, saling mendendam dan saling membisu sejak zaman sekolah... Siapa aku pada dia? A pal? A room-mate? A brother? Never a husband? ~ Benz


Pendapat peribadi aku, walau pun karya ini kisah cinta yang 'cliche' kahwin terpaksa tapi seronok, menghiburkan dan penuh dengan pengajaran. Aku kira penulis ini masih muda dan 'hijau' lagi ketika karya ini diterbitkan, tapi aku merasakan penulis ini memang berbakat besar dalam bidang penulisan dan layak diletakkan sebaris dengan penulis novel hebat yang lain.  Sejujurnya penulis ini sudah jadi penulis 'favourite' aku dan aku pula sudah jadi 'fan' no 1 penulis ini. Dan sudah semestinya selepas ini aku akan terus menyelongkar dan meneroka karyanya yang lain pula. Syukur kepada Allah swt kerana dengan izinNya aku dapat menghayati mutiara indah yang cuba disampaikan oleh penulis dan banyak pengisian yang menginsafkan aku sesudah membaca karya ini yang cukup terkesan di lubuk hati yang dalam. Permulaan watak Addin dan Benz yang agak kasar, keras kepala dan ego yang ditonjolkan oleh penulis dalam karya ini memang memberi tempias hebat kepada aku dan penulis berjaya mengolah perjalanan cerita watak yang amat menarik sehingga mereka sama-sama sedar dan berusaha berubah membetulkan diri masing-masing menjadi pasangan yang beriman, saling melengkapi dan membahagiakan dan kembali berserah dan mendekatkan diri dengan penciptaNya iaitu Allah swt. Sesungguhnya sebagai manusia kita sentiasa perlu memantapkan ilmu di dada dan proses pembelajaran itu tidak akan pernah berhenti walau pun setelah bergelar suami atau isteri.

' Who says there's nothing more complicated than E=mc2 ? There's something much more complicated; it's called emotion '

' Identifying something unidentified is harder than justifying the E=mc2 equation
Emotion falls under that something '


...inilah lagu I'll Be nyanyian Edwin McCain yang diperdengarkan oleh Benji kepada Didi...