Hantaran Kasih Tuhan





Penulis  :  Noorfadzillah Omar
Negara  :  Malaysia
Bahasa  :  Melayu
Genre    :  Malay Fiction
Penerbit :  PTS Litera Sdn Bhd
Bilangan Mukasurat : 536
Tarikh Terbitan : 18 Apr 2011
ISBN : 978-967-5783-68-5
Rating : ★★ 






Ulasan

Terlihat karya ini secara tidak sengaja di ebook Malaysia portal e-sentral.com baru-baru ini dan terus tertarik untuk meneroka karya penulis hebat ini.


Sinopsis  

Hidupnya cinta bukan kerana bahagianya kita. Itu perkara pertama yang dipelajari Nur Wardah pada saat dia mengabdikan dirinya bagi membangunkan Yayasan Nur Wardah. Dia berasa cintanya kuat di situ bagi membantu mereka yang memerlukan.

Hidupnya cinta bukan kerana rupa. Itu pengajaran kedua yang Nur Wardah pelajari saat dia bernikah dengan Engku Ashraf. Hidupnya sengsara dan jauh daripada bahagia. Semuanya kerana zahir kakinya yang tidak sempurna akibat virus Polio sejak kecil, dan Engku Ashraf mentafsirkannya dengan penuh kesalan.

Hidupnya cinta bukan kerana sempurnanya diri. Itu perkara terakhir yang Nur Wardah pelajari, pada saat suami terlantar di katil hospital. Tanpa jemu dia menjaganya dan dalam ketidaksempurnaan itu, tumbuh cinta Engku Ashraf kepada isterinya. Cinta yang lahir daripada ketidaksempurnaan.

Hidupnya cinta bukan kerana hidupnya kita. Itu perkara yang tidak sempat Nur Wardah pelajari pada saat lahirnya Engku Nurain, kerana dia meninggalkannya untuk kita pelajari sendiri. Ia akan mempertemukan kita kepada erti cinta sejati dan makna perjalanan yang abadi.

Kisah Nur Wardah anak gadis ayu yang berperibadi mulia sentiasa berpegang teguh kepada perintah Allah dan sentiasa hormat dan patuh pada ayahnya. Walaupun mengalami kecacatan kaki akibat virus polio yang dihadapinya sewaktu dia kecil lagi tetapi dia terima dengan tabah dan tidak pernah menyalahkan takdir. Membesar tanpa ibu dan mencurah ilmu dan bakti kepada anak-anak yatim di Yayasan Wardah yang telah dibangunkan oleh ayahnya. Dalam diam Wardah menyimpan rasa sayang kepada abang sepupunya Aiman. Namun kedua-dua mereka hanya memendam rasa. Wardah kemudiannya telah dijodohkan dengan Engku Asyraf anak sahabat lama ayahnya. Oleh kerana ugutan dari Ah Long pemiutang wang kerana tidak dapat membayar hutangnya yang berjuta, Engku Asyraf bersetuju menikahi Wardah dengan syarat yang telah ditetapkan oleh ayah dan ibunya menantu pilihan ibu bapanya walaupun dia tidak menyukai Wardah dan telah mempunyai kekasih hati iaitu sepupunya sendiri demi untuk menyelamatkan syarikatnya yang hampir muflis. Engku Asyraf sangat terkejut apabila mendapati isterinya yang mempunyai rupa paras yang cantik tetapi cacat. Wardah tetap sabar dan setia di sisi suaminya walaupun Engku Asyraf sering memarahinya dengan kata-kata yang penuh benci. Kalau nak tahu apakah yang terjadi kepada Wardah dan Engku Asyraf, cuba baca karya ini, memang boleh membuatkan anda menangis...

Sejujurnya setelah habis membaca karya ini buat aku menyedari bahawa sebagai hambaNYA kita tidak sempurna dan akan sentiasa diuji selagi kita bernafas di bumi persinggahan ini. Jangan pernah memandang rendah kepada mereka yang kita sangka kurang sempurna dari kita kerana kekadang orang yang kurang sempurna itulah yang lebih mulia di sisi Allah. Dan setiap ujian yang diberikan kepada kita sebenarnya adalah hantaran kasih Tuhan untuk hambaNYA. Karya ini aku kira memang berbeza sekali kerana akhiran cerita karya ini bukanlah happy ending seperti karya lain yang pernah kubaca sebelum ini. Namun, aku seperti sudah jatuh hati dengan karya penulis yang baru sahaja aku kenali ini. Bahasa yang digunakan dalam karya ini memang indah, halus dan penuh dengan nasihat. Walaupun aku kurang menyukai gaya bahasa yang digunakan dalam karya ini kerana pada pendapat aku bahasa yang digunakan agak formal dan meleret tetapi penulis berjaya menterjemahkan tema dan persoalan dalam karya ini dengan begitu terkesan dihatiku. Memang benar hidup di dunia yang sementara ini tidak semestinya dapat setiap apa yang kita angan dan inginkan. Cinta itu tidak semestinya berakhir dengan kegembiraan dan kebahagiaan.  Terima kasih dan tahniah kepada penulis karya ini kerana telah berkongsi suatu kisah yang dapat dijadikan inspirasi dan panduan hidup untuk menjadi wanita solehah insya-Allah.


Highly Recommended Book.



No comments:

Post a Comment