Rindu Syahadah-MU





Penulis  :  Raihan Zaffya
Negara  :  Malaysia
Bahasa  :  Melayu
Genre    :  Malay Fiction
Penerbit :  Karangkraf Sdn Bhd
Bilangan Mukasurat :  520
Tarikh Terbitan : 2012
ISBN :  978-983-124-784-6
Rating : ★★★★★





Ulasan :

Syukur Alhamdulillah kerana dengan izin-NYA aku telah diberi kesempatan dan terpanggil untuk membaca dan menghayati karya yang sungguh hebat ini. Rindu Syahadah-MU adalah karya pertama penulis hebat ini yang baru sahaja aku baca. Karya hebat ini boleh di kategorikan sebagai novel tarbiah dan kisah ini boleh dijadikan sebagai iktibar dan panduan hidup para pembaca. Penulis berjaya memperlihatkan kepada pembaca apakah tanggungjawab sebenar seorang khalifah di atas muka bumi Allah ini. Dan setiap perkara yang kita lakukan di atas muka bumi ini niatkanlah hanya kerana ALLAH. Niat begitu penting untuk menjalin perhubungan manusia dengan-NYA. Sentiasa menjaga iman dan akidah kita. Perlu jaga niat, ucapan dan perbuatan.Nyawa itu pada setiap detik boleh terpisah dari badan. Orang yang beriman akan terima apa saja qadak dan qadar yg ALLAH sudah aturkan. Akan ada terlalu banyak tipu daya di akhir zaman ini. Sentiasa meletakkan ALLAH di dalam hati dan sentiasa memastikan segala tindak tanduk kita mesti berpegang teguh pada apa yang terkandung dalam al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Setiap Muslim yang mukmin mesti mempertahankan kedua-duanya daripada dicela oleh musuh-musuh Islam. Kita mesti ada ilmu dan jihad menentang nafsu dalam diri sendiri. Jadilah hamba yang merendah diri kepada TUHANnya. Jadilah umat yang bangga akan Rasulullah s.a.w. Insya-ALLAH kemana saja kita pergi, kita akan selamat. Dan kita harus akur bahawa ujian ALLAH ditimpakan adalah kerana kasih sayang-NYA. Kita diuji dan diturunkan rahmat agar kita sedar bahawa kita masih diberi peluang untuk memperbaiki diri.


Kisah tentang Qistina Alia gadis berdarah Inggeris merasakan ada sesuatu yang pincang dalam kehidupannya. Kemewahan yang melimpah tidak memberi makna buatnya. Dia perlukan kasih sayang ibu bapanya yang tidak pernah ditemui sejak 19 tahun. Lantaran itu, dia nekad untuk mencari jawapan siapa ibu dan ayahnya yang sebenar.

Dalam pencariannya, Qistina terpaksa melalui pelbagai konflik yang menguji diri. Paling hebat apabila keimanannya menjadi taruhan oleh orang yang tidak dikenali. Gadis yang masih rapuh iman itu cuba untuk bertahan. Hinggalah suatu ketika, dia benar-benar tercabar tatkala diculik dan dikurung di sebuah tempat yang terlalu asing. Di situlah, dia menyedari bahawa akidahnya sedang dipermainkan. 


 

Kehadiran doktor muda, Rian Hazriq telah menjadi penguat semangat Qistina. Jejaka itu bukanlah ustaz atau orang alim yang menjadi dambaannya, tetapi setiap kata Hazriq yang telah mengusik perasaannya.

Ketika kehilangan Qistina yang penuh misteri, Hazriqlah yang paling bimbang. Dia berusaha untuk mencari gadis itu. Ada sesuatu yang mahu disampaikan kepadanya. Ia adalah tentang suara hatinya. Hazriq amat gusar seandainya semua itu telah terlewat...






Di sebalik kisah yang sungguh meruntun jiwa ini, aku cuba menghayati mutiara indah yang cuba disampaikan oleh penulis bahawa sebagai seorang Muslim, kita perlu berpegang teguh pada Rukun Iman. Qada' dan Qadar Allah adalah satu perkara yang perlu diyakini. Di sebalik semua ketentuan pasti ada hikmah yang tersembunyi. Membaca setiap baris ayat dari karya ini bukan sahaja buat aku sebak, malah banyak menyedarkan dan menginsafkan aku. Dan aku terasa seperti berada di dalam watak Qistina dan sungguh terkesan hingga ke lubuk hatiku yang paling dalam. Sejujurnya aku mengakui aku juga telah banyak melakukan dosa dan masih banyak kekurangan diri ini. Masih banyak tanggungjawabku yang tidak terlaksana dan perlu diteruskan walau sebesar mana sekalipun ujian dan dugaan duniawi yang perlu aku tempuhi. Sememangnya Allah sentiasa mendahului segala perancangan dan sebagai manusia kita harus pasrah menerima aturan takdir-Nya.  Kekecewaan yang pernah kita lalui mungkin akan menjadi satu nikmat yang akan kita syukuri satu masa nanti.

Subhanallah. Setinggi-tinggi penghargaanku dan ucapan terima kasih yang tak terhingga kepada penulis hebat ini kerana telah berkongsi karya hebat ini dan berjaya menghasilkan karya yang sungguh mantap sehingga menggetarkan seluruh jiwa dan ragaku. Ya Allah kuatkan imanku, bimbing dan permudahkan aku untuk menjadi isteri yang solehah
insya-Allah dan aku memohon keredhaan-Mu. Mudah-mudahan Allah akan pandu kita semua melayarkan bahtera rumah tangga kita ini hingga ke syurga-Nya, insya-Allah.


... Jamal Abdillah, Hattan & M Nasir - KepadaMU Kekasih ...

 



Hayati mutiara indah yang tertulis di dalam karya hebat ini :-

' Sesungguhnya orang yang bersabar sahajalah yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira ' ~ ( Surah az-Zumar 39 : 10 )

Solat itu menjadi tiang agama. Jika tidak dilakukan bererti sedang meruntuhkan agama Islam itu sendiri. Balasan yang amat pedih disediakan oleh ALLAH seandainya meninggalkan solat dengan sengaja.

Doa mesti dipanjatkan usai bersolat. Jika tidak, itu tandanya diri adalah manusia yang sombong di sisi ALLAH.

Besar kelebihannya bagi sesiapa yang menunaikan solat subuh. Nabi Muhammad s.a.w bersabda dalam riwayat Muslim dan At-Tarmizi : 

' Barangsiapa menunaikan solat subuh, maka mereka dalam jaminan ALLAH. Maka janganlah cuba-cuba membuat ALLAH membuktikan janji-NYA. Sesiapa yang membunuh orang yang sedang solat subuh, ALLAH s.a.w akan menuntutnya, sehinggalah DIA membenamkan mukanya ke dalam neraka.'

Dunia ini tempat ujian dan bukan tempat nak bersenang-senang. Kita kena yakin semua ujian datangnya daripada ALLAH. Mungkin kita fikir apa yang jadi pada kita paling teruk tapi kita lupa ada yang nasibnya lebih buruk daripada kita. Yang paling beruntung siapa yang selalu diberi ujian maknanya ALLAH sangat sayang pada orang itu.


Wanita yang cantik dan takwa, rumah yang luas, rezeki yang cukup dan tetangga yang soleh adalah kenikmatan yang kurang disedari oleh kebanyakan manusia.

Sifat manusia selalu ada pertentangan yang menghuni di dalam diri. Selagi masih ada setitis iman, maka akan ada sedikit ingatan di dalam diri mereka kepada TUHAN. Kuatnya iman atau akidah seseorang bergantung bagaimana mereka mengendalikan dan memupuknya. Iman itu ada turun naik lakaran grafnya. Ia bukan seperti baton yang boleh diserahkan kepada orang lain dalam satu larian pantas. Iman dan akidah di dalam diri setiap insan, masing-masing bertanggungjawab membajanya dengan baik agar terus subur mekar dan bertunas sehingga setiap jiwa sanggup berjihad pada jalan Islam.

 Iman itu terbahagi kepada dua bahagian iaitu sabar dan syukur. Allah telah berfirman ketika memuji sifat sabar :
'Kami telah menjadikan mereka itu sebagai pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah KAMI ketika mereka bersabar. Dah telah sempurnalah perkataan TUHANmu yang baik (sebagai janji) untuk Bani Isra'il disebabkan kesabaran mereka. Dan kami telah memberi balasan kepada orang-orang yang sabar.' (547-549) 

Jangan mencintai manusia terlalu berlebihan kerana manusia akan binasa. Cintai ALLAH lebih dari manusia dan cintailah manusia itu kerana ALLAH.

' Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu) atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pengajaran atau orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut) dan janganlah engkau menjadi dari golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa.' 
~ ( Riwayat Al-Bazzar ) 

Islam menuntut agar umatnya menyampaikan kebaikan biar hanya dengan sebaris ayat 

'Dan barang siapa yang mentaati ALLAH dan Rasul-NYA, mereka itu akan bersama-sama orang yang akan dianugerahi nikmat ALLAH iaitu Nabi-Nabi, para Siddinqin, orang-orang yang mati syahid dan orang-orang yang salih. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya.' 
 ~ ( Surah an-Nisa : 69 )

' Redha adalah sifat makrifah dan mahabbah kepada ALLAH S.W.T. Terima dengan senang dengan apa yang ALLAH berikan, baik berupa hukum atau peraturan dan juga menerima sesuatu ketentuan yang datang daripada ALLAH. Maksudnya redha itu terbahagi kepada dua. Pertamanya, berlapang dada menerima hukum atau peraturan yang dah ditentukan. Yang kedua, berlapang dada dengan ketentuan ALLAH tentang nasib atau mengenai diri.'

Dari Abu Hurairah r.a dari Nabi s.a.w bersabda :

' Setiap umatku akan masuk Syurga kecuali orang yang enggan. Para sahabat bertanya : " Wahai Rasulullah ! Siapakah orang yang enggan itu ? Rasulullah menjawab : " Sesiapa yang taat kepadaku maka ia akan masuk Syurga dan sesiapa yang derhaka maka sesungguhnya dia telah enggan. "

Banyak sebab yang boleh membuatkan seseorang itu jadi munafik. Antaranya orang yang mendusta dan mengingkari ayat-ayat ALLAH iaitu al-Quran. Orang yang tak nak menerima hukum-hakam ALLAH. Orang yang menuduh perempuan baik-baik melakukan zina dengan tanpa bukti dan orang yang melakukan kezaliman dengan sesuka hatinya. 

Setiap gerak hati adalah aturan daripada ALLAH. DIA yang menyusun atur hati-hati manusia mengikut apa yang DIA mahu. Bila sahaja ALLAH berkata ' KUN FAYAKUN ' maka terjadilah apa yang sepatutnya terjadi.

Tubuh itu amanah ALLAH. Jangan sia-siakan. Berdosa ... akan disoal nanti. Apa yang ada pada kita ini semua dipinjamkan. Hak ALLAH.

Kitalah yang perlu bentuk dan didik diri kita untuk dekat dengan ALLAH.

Iman adalah nikmat terbesar yang ALLAH lontarkan dalam hati-hati manusia yang diingininya. Beruntung kepada sesiapa yang ALLAH telah anugerahkan.

Dua perkara pokok yang penting bagi orang Islam, pertama adalah akidah, iaitu percaya pada rukun iman. Letaknya di hati. Ia satu keyakinan yang mengikat hati manusia dari segala keraguan. Ia adalah asas atau pokok. Keduanya ialah perbuatan kita, iaitu cara-cara beramal seperti solat, puasa, zakat dan apa saja bentuk ibadah. Ia adalah cabang kepada pokok atau asas tadi.

Tidur adalah kematian kecil. Ketika itu roh dikeluarkan sebentar oleh malaikat dengan seizin ALLAH. Kemudian ALLAH memegang jiwa-jiwa orang yang sedang tidur seperti DIA memegang jiwa-jiwa orang yang telah mati. Setelah itu jiwa-jiwa itu akan dilepaskan semula bila sampai ketikanya.

Dalam Islam telah nyata tentang halal haramnya sesuatu perkara. Bila mana ada was-was di antara kedua-duanya ia telah jatuh kepada syubahah. Jika sesuatu hukum itu tidak diketahui dengan jelas, itulah yang dimaksudkan dengan syubahah.

Islam melarang kita mendoakan keburukan orang  lain.

' Cukuplah ALLAH bagiku, tiada Tuhan selain dari-NYA. Hanya kepada-NYA aku bertawakal. '
~ ( Surah At-Taubah : 111 )

' Dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat ALLAH. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat ALLAH melainkan kaum yang kafir. ' ~ ( Surah Yusuf : 12 )

 Sentiasa memberi kemaafan kepada orang-orang yang telah menyakiti kita



Arluna




Penulis  :  Rin Ahmad
Negara  :  Malaysia
Bahasa  :  Melayu
Genre    :  Malay Fiction
Penerbit :  Kaki Novel
Bilangan Mukasurat : 448
Tarikh Terbitan : February 2014
ISBN : 978-967-0448-59-6
Rating : ★★★★★






Ulasan :

Arluna ~ Tewas Itu Taat, pertama kali 'membedah siasat' karya penulis ini setelah terlihat tajuk yang agak unik dan menarik ini di perkongsian geng goodreads. Ia seakan menggamit hatiku untuk menyelongkar karya penulis yang baharu sahaja aku kenali ini.

Pertemuan pertama Nia Arluna (Nina) dengan Johan Arif  (Joe) dalam satu insiden terjatuh dalam kolam renang di puncak Sands Skypark, Singapura telah berputiknya bunga-bunga cinta di dalam hati Johan tanpa disedarinya sehingga membawa kepada pertemuan seterusnya sewaktu Nina menjalani praktikal di syarikat sahabat baiknya, Raziq. Johan mengambil keputusan melamar Nina untuk menjadi isterinya untuk mengelak daripada Fazleen 'udang galah' dari sering mengganggunya. Namun, kebahagiaan yang baru dirasai oleh Nina sering dikejutkan dengan mesej romantis dari Fazleen sehingga membuatkan Nina menjeruk hati. Nina merasakan terlalu banyak yang tidak diketahuinya tentang diri Johan dan merasakan Johan berlaku curang di belakangnya dan masih ada hubungan dengan Fazleen. Walau bagaimanapun, Nina tetap cuba mempertahankan rumahtangga yang baru dibina itu dan cuba belajar untuk menjadi isteri yang terbaik buat Johan. Kesetiaan dan keikhlasan cinta Johan mula dipertikai oleh Nina. Ada waktunya Nina cuba bertindak dengan bijak mengambil hati Johan tanpa menunjukkan sebarang perubahan. Ada waktunya Nina tidak dapat mengawal emosinya yang sering mendahului akal apabila Johan ambil mudah dalam semua perkara dan tidak mengendahkan perasaan Nina sebagai isteri dan masih melayan Fazleen bekas kekasihnya itu. Mampukah Johan mendapatkan kepercayaan dan memujuk Nina semula ? Adakah Nina berjaya mempertahankan mahligai cinta yang baru dibina itu ? Kalau nak tahu bagaimanakah kesudahan cerita ini cuba dapatkan buku ini ye...

Pendapat peribadi aku, karya penulis ini boleh dikatakan hampir tidak mengecewakan aku. Tema dan plot ceritanya berkaitan cinta yang hadir selepas nikah. Gaya penulisan bahasanya bersahaja dan menghiburkan. Watak-watak utama dalam karya ini berjaya mencuit hati aku. Walau bagaimanapun, aku memang jatuh hati dengan watak 'Nina' yang mempunyai auranya yang tersendiri dan tahniah kepada penulis kerana berjaya menghidupkan watak-watak penting dalam cerita ini secara keseluruhannya dan memeriahkan suasana cerita ini melalui dialog 'sempoi' dan dialog/monolog aksi nakal dan bersahaja. Pengisian yang cuba diketengahkan oleh penulis lebih kepada pergolakan perasaan dalam melayari bahtera ikatan perkahwinan yang penuh ranjau dan duri. Setiap rasa kasih dan cinta yang dianugerahkan oleh Allah itu pasti akan diuji sama ada kita bersedia atau tidak. Dan sebagai hamba-Nya kita harus berusaha mempertahankan mahligai yang dibina. Mohon petunjuk dan pertolongan dari Allah. Hanya kasih sayang yang berpaksikan iman yang kuat mampu menghadapi dan menangkis segala sudut dugaan yang datang. Terima kasih kerana berkongsi dan berjaya menghasilkan karya yang bukan sahaja mencuit hati malah menyedarkan dan mengajak pembaca untuk sama-sama merenung, menerima dan yakin jodoh yang telah ditentukan oleh Allah untuk kita adalah yang terbaik, terindah dan saling lengkap melengkapi di antara satu sama lain. Terima dan kasih pasangan kita kerana Allah dan terima kekurangan dan kekhilafan pasangan sebagai satu kesempurnaan dalam melayari alam rumahtangga. Banyak ilmu rumahtangga dan tips berguna yang dapat dijadikan panduan dan pengajaran tentang peranan isteri dan hak isteri terutamanya tips dari Prof Muhaya, Dr Ariffin bapa mertua Nina dan umi Nina sendiri tentang peranan isteri dan hak isteri. Highly recommended book untuk yang baru sahaja bergelar isteri. Yakinlah dengan kasih sayang yang Allah limpahi dalam rumahtangga kita. Semoga kita dipermudahkan melayarkan bahtera rumah tangga ini hingga ke syurga-Nya, insya-Allah.

  Hayati mutiara indah yang tertulis di dalam karya hebat ini :-

' Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu  (suami isteri ) perasaan kasih sayang (mawaddah) dan belas kasihan (rahmah). Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.' ~ (Surah Ar Rum : 21) 


' Patience is bitter, but it bears sweet fruit '

' Kahwin ni bukan setakat kongsi katil tapi kena kongsi semuanya. Susah senang dan nafkah. Nafkah seorang isteri adalah berdasarkan kemampuan seorang suami '

' Seorang perempuan kena faham hak dirinya sebelum dan selepas kahwin. Sekiranya suami seorang yang miskin maka, nafkah adalah mengikut kemampuannya walaupun isteri adalah seorang yang kaya ' ~ (Surah At-Talaq : 7)

' Keluarga adalah ikatan yang terjalin tanpa kita memintanya. Kadangkala menyakitkan hati, tetapi mereka tetap keluarga kita. '


' Rasulullah SAW bersabda, Isteri solehah ialah yang menggembirakan suaminya apabila suami melihat kepadanya. '

' Jika rasa susah dan rasa kehidupan baru mencabar, bangun malam dan mengadu pada Allah, minta Allah jaga hati kita atau hati suami kita. Doa dan minta dengan-Nya. '

' Taatilah suami walau apa pun kelakuannya kerana Allah '

' Anak itu amanah Allah. Harta dan anak adalah dua perkara yang pasti akan diuji untuk manusia. Harta sama ada Allah menguji hamba-Nya  dengan kekayaan atau dengan kemiskinan. Dan anak, Allah menguji kita macam mana mendidik anak dan bersabar sama ada kita mendapat anak yang baik atau tidak '

' When a man has a family, he is rich '

' Allah tidak pernah menzalimi hamba-Nya dengan jodoh yang Dia tetapkan. Allah menemukan kita dengan pasangan yang menduga kesabaran emosi kita kerana Allah mahu kita sentiasa merayu dan merintih berdoa dan beribadah '

' Suami pinjaman di dunia tapi dia milik isteri '

' TEWAS ITU TAAT '



...inilah lagu Perfect Love - Simply Red ...




kalau ingin tahu lebih lanjut tentang karya penulis boleh klik link ini ye ... Rin Ahmad



Biarkan Indah Berlalu




Penulis  :  Ramlah Rashid
Negara  :  Malaysia
Bahasa  :  Melayu
Genre    :  Malay Fiction
Penerbit :  Buku Prima
Bilangan Mukasurat : 642
Tarikh Terbitan : March 2012
ISBN : 978-967-0342-28-3
Rating : ★★★★★






Ulasan :

Syukur Alhamdulillah kerana dengan izin-Nya aku telah diberi sekali lagi kesempatan dan terpanggil untuk membaca dan menghayati karya yang sungguh hebat ini. Biarkan Indah Berlalu adalah karya pertama penulis hebat ini yang baru sahaja aku baca dan karya ini aku kira memang unik dan begitu simbolik sekali dan boleh di kategorikan sebagai novel tarbiah. Di dalam karya ini penulis bukan sahaja berjaya menyingkap sebuah kisah pilu tentang seorang gadis lemah yang telah menjadi mangsa kezaliman oleh ahli keluarganya sendiri. Malah ia juga berjaya memperlihat bagaimana kesabaran, ketabahan dan keyakinan dengan menyerahkan segalanya kepada Allah swt dalam menghadapi setiap ujian dan dugaan berat yang mendatang itu pastinya terselit hikmah yang paling agung di sebalik kejadiannya. Secara tidak langsung, penulis juga berjaya membuka mata hati dan mata akal pembaca untuk menyelami pergolakan perasaan mangsa yang dizalimi akibat kerakusan nafsu manusia itu sendiri. Selain itu, ia juga berjaya memperlihat kepada pembaca bagaimana pandangan dan penerimaan masyarakat terhadap golongan ini untuk dijadikan iktibar dan pengajaran kepada kita semua. 


Kisah tentang Indah Nur Iman yang telah dinodai oleh abang sepupunya sendiri Azril yang bernafsukan syaitan setelah putus cinta dengan teman wanita Indon. Peristiwa hitam itu berlaku sewaktu Indah tinggal bersama-sama emak saudaranya untuk menyambung pelajaran di sebuah kolej di Kuala Lumpur. Hidupnya tidak seindah namanya setelah emak dan bapa saudaranya (Mak Ngah dan Pak Ngah) lepas tangan walaupun peristiwa hitam itu telah disaksikan sendiri oleh mereka kerana ingin selamatkan anak lelaki tunggal mereka dari di penjara dan takut kepada bapa Indah seorang Jeneral bersara yang berpendirian tegas. Oleh kerana pujukan emak saudaranya supaya merahsiakan kejadian itu, Indah yang naif telah setuju tinggal di asrama sehingga hamil. Akibatnya Indah bukan sahaja telah digantung dari pengajian oleh pihak kolej malah Indah telah disebat 100 kali  oleh abahnya sebagai hukuman untuk penzina. Mak Ngah dan Pak Ngah juga tidak langsung cuba menceritakan hal yang sebenar dan membantu Indah malah bersama-sama ibu dan abahnya melakukan pelbagai cara dan usaha untuk menggugurkan kandungan tersebut tetapi tidak berjaya. 

Oleh kerana tidak mahu di paksa berkahwin dengan Leman gila untuk dijadikan 'pak sanggup',  Indah telah melarikan diri dan menjadi pelarian dalam hidupnya sendiri sehingga ditemui oleh sepasang warga emas Tok Wan dan isterinya selepas melahirkan bayi perempuan di bawah pokok pisang. Kelahiran bayi perempuan yang tidak diharap dan amat dibenci itu telah diserahkan kepada Tok Wan dan isterinya telah dipelihara dengan penuh kasih sayang dan diberi nama Putri Imani Abdullah. Selepas lebih dua tahun Indah meninggalkan anaknya bersama Tok Wan tanpa ada sekelumit ingatan untuk menjejaknya, tiba-tiba barulah timbul perasaan kasih kepada Putri setelah bertemu kembali di rumah Tok Wan. Pertemuan Indah dengan Danial Ahmad Tarmizi yang merupakan ketua di tempat kerjanya telah memberi sinar cahaya baru dalam hidup Indah selepas mereka bertemu di rumah Tok Wan semasa Danial menjual insuran yang ingin dibeli oleh Tok Wan untuk Putri. Putri mula menjadi rebutan ibu dan abah Indah, Azril, Mak Ngah dan Pak Ngah juga Kak Biah bidan yang telah membantu Indah dan telah menjadi ibu susuan malah ibu angkat yang sah mengikut undang-undang selepas kematian Tok Wan dan isteri. Indah menjadi serba salah di antara memilih Danial yang begitu amat menyayangi Putri atau mengikut kemahuan ibu dan abahnya supaya memilih Azril yang ingin bertanggungjawab dan mengahwininya untuk membantu mendapatkan semula hak penjagaan Putri daripada Kak Biah. Siapakah yang bertakhta di hati Putri dan Indah?  Kalau nak tahu bagaimana kesudahan cerita yang begitu menyayat hati ini, mesti dapatkan buku ini dengan segera ye.

Pendapat peribadi aku, kalau baca karya yang boleh buat aku nangis aku 'guarantee' buku itu memang 'AWESOME'. Karya ini adalah antara karya yang paling sebak dan terbaik pengisiannya yang pernah aku baca setakat ini. Membaca setiap baris ayat dari karya ini bukan sahaja buat aku tersedar dan menginsafkan aku.  Tidak ku sangka dugaan demi dugaan yang tidak dapat digambarkan berat ditanggung oleh Indah membuatkan aku terasa tempias yang paling hebat sekali. Perasaan hatiku turut sesak dan pilu seperti di hiris merasakan keperitan dan kesengsaraan Indah sehinggakan air mataku menitis laju di setiap baris ayat yang ku baca tak tertahan dan sebak rasa hatiku ini sehingga membuatku terfikir panjang jika aku berada di tempat Indah mampukah aku menempuh ujian yang sehebat dan seberat ini ? Aku sungguh tersentuh dengan cinta murni dan ketulusan kasih sayang Danial kepada Putri dan Indah. Setiap gadis mahupun wanita pastinya mendambakan seorang insan yang bergelar LELAKI seperti Danial ini. Padaku watak Danial ini cukup mulia dan sempurna dari pelbagai sudut. Demi cintanya, Danial dengan rasa terpaksa memaksa hati membiar Indah berlalu. Cinta bukan bererti memiliki, tetapi berusaha membahagiakan yang tercinta mengutip bahagia dengan caranya. Dan demi Putri juga, Danial rela mencari sirih jampi bagi melupai mereka. Namun demi harapan terindah Putri, berusaha juga Danial menjejak diari lama, bukan untuk merampas yang bukan miliknya tetapi sekadar melunasi apa yang dia sudah berjanji.


... Inilah lagu Ayat-Ayat Cinta - Rossa lagu kegemaran Danial & Indah ...


Di sebalik kisah yang sungguh meruntun jiwa ini, aku cuba menghayati mutiara indah yang cuba disampaikan oleh penulis bahawa  setiap apa yang berlaku pada kita didunia ini pasti ada hikmah yang terindah di sebaliknya. Dosa dengan ALLAH boleh saja mohon ampun daripada-Nya. Tapi dosa pada manusia, perlu mohon maaf daripada orang itu juga. Jika diperkenankan, orang itu sendiri memohon daripada ALLAH untuk diberi keampunan kepada yang berbuat salah. ALLAH Maha pengasih, Maha penyayang dan Maha mengetahui. Taubat nasuha bererti menyesali sesungguhnya dan tidak sama sekali berniat mengulanginya. Jadilah hamba-Nya yang berserah diri, yang sentiasa mencintai mati dan mencintai ALLAH. Jangan berdendam, sabar, redha dan jangan pernah mengeluh dengan setiap ujian dan dugaan yang datang dan yakinlah pada Allah. Walaupun dalam karya ini penulis banyak mengolah cerita dengan menggunakan teknik 'flashback' namun penulis berjaya meletakkan unsur suspen yang menyebabkan aku terasa sungguh teruja untuk tahu kesudahan karya ini dan terus baca  hingga ke akhir muka surat tanpa henti dan buatku rasa sakit hati dengan watak keluarga Indah yang sungguh pentingkan diri sendiri dan tidak tahu malu itu. Cukuplah sekadar berkongsi sedikit rasa hatiku ini...untuk mengetahui bagaimana kesudahan cerita selanjutnya, adalah lebih baik jika membaca karya hebat ini sendiri dan cuba hayati dan selami mesej dan mutiara indah yang tersirat di sebalik kisah kasih sayang yang syahdu ini. Tahniah kepada penulis karya ini kerana telah berjaya menghasilkan karya yang sungguh menggetarkan seluruh jiwa ragaku. Penulis juga berjaya membuatkan aku membaca buku ini bukan hanya dengan mata hatiku dan mata akalku sahaja malah seluruh pancainderaku, membaca buku ini dengan penuh deraian air mata yang bukan sahaja buatku lebih bersyukur dan mensyukuri di atas nikmat dan apa yang aku ada disekelilingku, juga membuatkan aku lebih menginsafi kekhilafan diri ini.

Aku begitu tersentuh dengan luahan hati Danial ini ...
“ Usah peduli apa orang lain kata, ikut kata hati sendiri. Dan usah takut bayangan semalam kerana tidak ada orang berupaya merubah semalam yang sudah berlalu. Seburuk mana, sejelik mana pun semalam tetap dilalui semua orang. Apa yang dibawa dari kejadian semalam, itu sudah pasti. Usah menolak takdir yang ditentukan Allah, DIA sudah menyusunnya sebaik mungkin. " 


Hayati mutiara indah yang tertulis di dalam karya hebat ini :-
" ALLAH punya sebab tersendiri di atas setiap kejadian-Nya. Rahsia-Nya hanya DIA yang tahu. ALLAH berkuasa di seluruh langit dan bumi serta sekalian isinya. Walaupun para malaikat sudah mengatakan manusia akan membuat onar dibumi ciptaan ALLAH ini tetapi ALLAH kata DIA lebih berkuasa. DIA tahu apa yang dilakukan dan apa yang akan berlaku. Tidak satu pun akan terlepas dari pengetahuan-Nya "

" ALLAH tidak akan mengakhiri dugaan-NYA selagi kita bergelar hamba-NYA. Bersedialah dengan kesabaran yang tinggi dan iman yang cekal "

" Mintalah pertolongan daripada ALLAH,  nescaya ALLAH akan membantu. ALLAH suka pada orang yang banyak meminta. ALLAH sayang pada hamba-Nya yang sentiasa bertaubat "

" Anak adalah amanah ALLAH, jangan sekali-kali disia-siakan "

" Mengikut Imam Syafei, sekali si isteri sudah ditiduri suami yang sah, berertilah anak tiri itu mahramnya. Walaupun bukan dari darah daging bapa tiri tetapi haram bagi bapa tiri itu mengahwini anak tirinya nanti walau dalam keadaan apa sekalipun "

" Usah menolak takdir yang ditentukan ALLAH, ALLAH sudah menyusunnya sebaik mungkin. Siapa kita untuk merubah dan menolaknya "

" Perkahwinan bukan percubaan dan isteri bukan bongkah kosong. Isteri mesti dikasihi selayaknya kedudukan mereka yang hadirnya dari tulang rusuk kiri lelaki, tak cukup dengan hanya mengasihaninya. Eratnya perasaan suami dan isteri sehingga berkongsi setiap rasa "

" Wanita yang tabah selalu diduga sebab ALLAH hanya akan menurunkan kepayahan kepada hamba-Nya yang sudah dibekalkan kesabaran dan ketabahan. Dan, setiap ujian adalah peluang untuk kita mendekatkan diri kepada ALLAH "

" ALLAH benci orang yang bersikap pendendam. Sedangkan Nabi ampuni umatnya. Sikap dendam adalah permainan syaitan "

 " Ya ALLAH ya tuhan kami, janganlah KAU gelincirkan hati kami setelah KAU beri petunjuk kepada kami dan limpahkanlah kepada kami rahmat dari sisi-MU. Sesungguhnya KAU Maha pemberi ' ~ (Surah Ali Imran : 8 )

kalau ingin tahu lebih lanjut tentang karya penulis boleh klik link ini ye ... Ramlah Rashid