Untuk Semua Dosaku




Penulis  :  Rin Ahmad
Negara  :  Malaysia
Bahasa  :  Melayu
Genre    :  Malay Fiction
Penerbit :  Kaki Novel
Bilangan Mukasurat : 618
Tarikh Terbitan : 2012
ISBN :  978-967-5067-32-7
Rating : ★★★★★






Ulasan :

Setelah membaca karya pertama penulis, aku begitu tertarik dengan kata-kata di kulit novel "Bist du mit Liebe verliebt oder liebst du der, der die Liebe erschaffen hat ? Are you in love with the idea of love or do you love the creator of love? Hatiku seperti ditarik-tarik dan ingin menyelongkar apakah isi yang terkandung dalam karya ini yang pada firasatku karya ini juga tidak akan mengecewakan aku kerana karya ini telah mendapat perhatian yang meluas dari geng goodreads. Ternyata karya ini begitu berbeza sekali dan seperti kata pepatah melayu karya ini "membuka pekung di dada" memperlihatkan keruntuhan akhlak dan perilaku anak-anak bangsaku yang bijak pandai semakin tersasar jauh bukan sahaja daripada adat dan budaya malah telah luntur iman dan pegangan agama yang tersemat di dada. Walaupun pahit umpama hempedu namun itulah kenyataan yang perlu ditelan dewasa ini.


Nur Lisa, gadis pintar yang melanjutkan pelajaran ke Technical University of Munich (TUM) terperangkap menjadi roommate jejaka kacak, Syed Azri dengan sexy-smart-beard yang egonya tinggi melangit di studio kecil Pasing, Jerman. Sikap selamba Nur Lisa telah berjaya menambat hati Syed Azri yang pantang dicabar.
Berpasangan dan berkasih bukanlah tiket untuk hubungan kekal lama apabila cahaya hidayah menjengah ruang hati Nur Lisa. Bertahun hidup bersama di bumi asing merantai kaki Nur Lisa tetapi dia tegar melangkah pergi. Pergi meninggalkan semua dosa.


Impian Nur Lisa yang mendambakan lelaki yang beriman sebagai pasangan yang mampu membimbingnya lebur. Bagi Nur Lisa, sedalam mana cintanya terhadap Syed Azri, perkahwinan bukanlah penghapus dosa silam. Dipaksa berkahwin oleh keluarga yang malu apabila mengetahui kehidupan bebas Nur Lisa bersama Syed Azri di Jerman dulu menambah duka. Betullah kata orang... nak buat baik susah, nak berubah jadi baik, berganda-ganda lagi susah. Tanpa sokongan keluarga dan suami sendiri, mampukah Nur Lisa tegap berdiri di jalan yang telah dipilihnya?  Mampukah Nur Lisa kekal menjadi hamba-Nya yang taat dan menjadi isteri yang solehah kepada Syed Azri? Mampukah Syed Azri berjalan seiring dengan jalan yang telah dipilih oleh Nur Lisa?

Di sebalik kisah yang syahdu ini ia membuktikan kepada kita alangkah ruginya jika seorang hamba kehilangan kasih Allah, dia akan hilang segala-galanya. Walaupun kita berdosa sebanyak bintang di langit, sebanyak debu di gurun atau sebanyak buih di lautan, yakinlah kasih sayang Allah dan keampunannya terlalu luas. Yakinlah di sebalik semua yang terjadi dan berlaku kepada kita itu ada hikmah dan nikmat yang akan kita syukuri satu masa nanti. Walaupun penulis menceritakan tentang kisah pergaulan bebas watak-watak utama secara jelas dalam karya ini namun aku kira secara tidak langsung kisah ini juga sebagai kiasan untuk memperlihatkan kepada pembaca bahawa inilah keadaan sebenar yang terjadi kepada segelintir anak bangsa melayu yang menimba ilmu di perantauan yang hilang jati diri dan semakin nipis iman yang diharap menjadi pelapis dan pejuang agama, bangsa dan negara.  Syabas dan tahniah serta ucapan terima kasih yang tak terhingga kepada penulis ini kerana berani menggarap kisah ini dan berkongsi karya hebat ini untuk dijadikan tauladan kepada para pembaca.  

Secara peribadi, aku dapati banyak maklumat dan persoalan sebagai seorang hamba-Nya, sebagai isteri dan sebagai anak dikupas dengan begitu sempurna sekali dalam karya ini.  Juga, banyak ilmu rumahtangga dan tanggungjawab isteri yang boleh dijadikan sebagai ikutan, panduan dan pengajaran untuk membimbing suami ke jalan yang diredhai oleh ALLAH swt dengan penuh helah manja menggunakan sepenuhnya kuasa wanita dengan cara yang  taat. Sejujurnya aku mengakui ayat-ayat dalam karya hebat ini yang mengatakan memang benar ramai orang yang bertemu hidayah jauh di rantau orang, kerana di sana hati cepat menjadi sunyi, menjadi walang dan mudah tersentuh. Paling penting, di tempat orang senang nak membezakan baik dan buruk. Jelas perbezaannya. Di tempat sendiri kadang-kadang nur ilahi terkambus antara adat dan budaya, terselimut antara yang fasik dan yang benar.  Highly Recommended Book kepada yang berkeinginan untuk berubah dan menemui Pencipta juga kepada yang akan bergelar ISTERI. Jangan pernah berhenti berdoa kerana doa seorang isteri itu akan makbul jua, insya-Allah. Buatlah apa saja asalkan niat kita kerana Allah dan untuk mendekatkan diri kita dengan Allah. Ya Allah tetapkan imanku dan bimbinglah aku agar sentiasa mengerjakan amal soleh dan sentiasa taat dan menjadi isteri yang solehah, semoga dipermudahkan insya-Allah. Amin.

Hayati mutiara indah yang tertulis di dalam karya hebat ini :-

"...Sometimes the bad things that happen in our lives put us 
DIRECTLY 
in the path of the BEST things that will ever happen to us ..."

" Apabila kamu melihat Allah memberikan kepada seorang hamba-Nya 
di dunia ini apa yang hamba itu suka atau berhajat, 
sedangkan hamba-Nya itu tetap dalam kemaksiatannya maka itulah istidraj "

Rasulullah SAW bersabda :
 " Ketika kamu mahu tidur bertasbihlah sebanyak 33 kali , bertahmid 33 kali dan bertakbirlah 33 kali. Sesungguhnya zikrullah memberi kekuatan jiwa dan membantu menanggung segala penderitaan hidup dan  Allah akan sentiasa bersama orang yang basah bibirnya dengan zikrullah "

Allah berfirman dalam satu hadis qudsi. 
Innamal a'malu bil niat
Setiap amal tergantung pada niat


Bist du mit Liebe verliebt oder liebst du der,

der die Liebe erschaffen hat ?

Are you in love with the idea of love or

do you love the creator of love?

 

Untuk Semua Dosaku

Fuer alle meine Suenden 

 

... Jay Jay & Dayangku Intan - Kita Insan Biasa ~ gambaran hati Lisa ...

 

 


kalau ingin tahu lebih lanjut tentang karya penulis boleh klik link ini ye ... Rin Ahmad



Cerita Cinta AHMAD AMMAR




Penulis  :  Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD)
Negara  :  Malaysia
Bahasa  :  Melayu
Genre    :  Tokoh
Penerbit :  Karya Bestari
Bilangan Mukasurat  :  359
Tarikh Terbitan  : 2014
ISBN : 978-967-86-0430-7
Rating :  ★★★★★






Ulasan :


Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akhbar !!! Buku ini telah sebulan kubeli TETAPI terpaksa kutangguh pembacaannya ekoran dari tidak tertanggung sebak yang terbuku menggunung dihatiku ini...setiap kali pembacaan terpaksa kuhentikan seketika kerana betapa mudahnya mataku ini mengalirkan air mata deras. Aku yakin sesiapa sahaja yang membacanya pasti merasa sebak dan hiba. Terasa begitu kerdil dan jauhnya aku jika dibuat perbandingan kerana sudah terlalu lama aku hidup dalam comfort zone yang amat selesa ini.  Setelah ku habisi pembacaan ini, Allahu Akhbar aku turut terkesan dan sungguh merasa kesannya dengan pemergian Ahmad Ammar seperti dikejutkan dari lena yang panjang...aku mula memikirkan tentang cahaya iman dan ilmu dalam diriku ini, mati syahid dan bagaimana untuk membantu saudara-saudara Islamku.  

Buku terbitan Karya Bestari ini khusus menceritakan tentang perjalanan hidup almarhum Ahmad Ammar daripada pandangan dan luahan hati dan kata keluarga almarhum, sahabat dan beberapa orang yang rapat semasa hayatnya. Cetusan idea menerbitkan buku ini adalah sebagai pemangkin sebuah kebangkitan Islam dan sebagai pencetus semangat baru di kalangan generasi muda dan umat Islam seluruhnya. Semoga kita dapat sama-sama mengambil teladan dan pengajaran daripada kisah dan peristiwa yang terjadi kepada almarhum Ahmad Ammar ini dan meneruskan kehidupan sebagai Muslim menurut ajaran Islam sekali gus memartabatkan keindahan Islam di sisi kita dan meneruskan perjuangan yang masih belum selesai ini insya-ALLAH. Semoga kita dipermudahkan oleh ALLAH SWT dalam perjuangan ini insya-ALLAH amminn.



Al-Fatihah buatmu Ahmad Ammar 
didoakan Almarhum bertemu dan ditempatkan bersama-sama 
insan agung junjungan Rasulullah SAW



 " ... Abah, dunia ini adalah tempat untuk berjuang 
dan tempat untuk kita berpenat. 
Kita rehatlah bila mati 
dan syurga-NYA sedang menanti ..."




kalau ingin tahu lebih lanjut tentang GPTD boleh klik link ini ye ... Grup Penjejak Tamadun Dunia







Cinta High Class & Cintaku Kerana Agamamu




Penulis  :  Fatimah Syarha & Dr Farhan Hadi
Negara  :  Malaysia
Bahasa  :  Melayu
Genre    :  Malay Fiction / Tarbiah
Penerbit :  Galeri Ilmu Sdn Bhd
Bilangan Mukasurat :  492
Tarikh Terbitan : 2012
ISBN :  978-983-097-361-6
Rating : ★★★★★






Ulasan :

Syukur Alhamdulillah kerana dengan izin-NYA aku telah diberi kesempatan dan terpanggil untuk membaca dan menghayati karya yang sungguh hebat ini. Cinta High Class adalah karya pertama penulis hebat ini yang baru sahaja aku baca. Karya hebat ini boleh di kategorikan sebagai novel tarbiah dan boleh dijadikan sebagai iktibar dan panduan hidup untuk para pembaca tentang erti sebenar cinta halal dalam Islam terutama sekali untuk yang belum bergelar atau pun yang sudah bergelar Suami atau Isteri.

 




Cinta High Class bukan eksklusif milik sesiapa. Cinta High Class berhak dimiliki oleh kita semua. Jangan tunggu esok. Hari ini juga kita dan si dia mesti mencintai secara high class. Jangan lupa, bantu si dia agar mampu mencintai secara high class juga.






 



Cintaku Kerana Agamamu. Dalam agama Islam, ada perkara yang baik dan perkara yang TERBAIK. Adat yang selari syariat elok diraikan. Masyarakat akan lebih berbaik sangka denan setiap pilihan orang lain apabila mereka mengamalkan mana yang menjadi prioriti. Inilah namanya konsep fiqh al-awlawiyat.








Karya ini memaparkan kisah yang sungguh menyentuh hati dari sudut pandangan seorang LELAKI iaitu Dr Muslih dan juga seorang PEREMPUAN iaitu Qani'ah Syumaila. Ia juga sebagai makanan kepada jiwaku yang masih kosong selama ini, aku cuba menghayati dan menghadam mutiara indah yang cuba disampaikan oleh penulis disebalik maksud yang tersirat Cinta High Class sebagai seorang Muslim. Membaca setiap baris ayat dari karya ini bukan sahaja terkesan hingga ke lubuk hatiku yang paling dalam, malah banyak menyedarkan aku tentang erti cinta itu sendiri dari perspektif  seorang Muslim. Penulis juga berjaya mentarbiah pembaca bagaimana cara untuk meningkatkan kualiti iman sebagai seorang lelaki dan perempuan dalam mengharungi hidup di dunia yang penuh dengan dugaan dan cabaran.  Selain itu juga, penulis juga banyak menyelitkan ayat-ayat al-Quran, sabda Nabi dan kata-kata mutiara para ulama muktabar tersohor yang sekaligus menjadikan novel ini nyata berbeza sekali dengan novel yang lain di pasaran yang telahku baca sehingga kini.

Ya ALLAH sesungguhnya aku mengakui aku telah banyak melakukan kesilapan di dunia fanamu ini dan masih cetek ilmu akhirat dalam diri ini. Masih banyak ilmu yang tidak lagi kupelajari dan masih banyak tanggungjawabku sebagai seorang Muslim yang masih tidak terlaksana dan perlu ditambah, diperbaiki dan dicarigali. Aku tidak mahu comment lebih-lebih disini, cukup hanya aku menyatakan di sini masih belum terlambat untuk para pembaca budiman sekalian untuk menambah ilmu di dada untuk menjadi seorang Muslim yang sebenar. Kalau ingin tahu lebih lanjut dan menghayati serta menimba ilmu yang cukup hebat dalam karya yang aku pasti memang hebat ini, cuba dapatkan karya ini dan buat penilaian sendiri setelah membacanya. Anda pasti menemui jawapan disebalik persoalan yang tidak terjawab di minda selama ini insya-ALLAH.


Subhanallah. Setinggi-tinggi penghargaanku dan ucapan terima kasih yang tak terhingga kepada penulis hebat ini kerana telah berkongsi ilmu dan berjaya menghasilkan karya yang cukup lengkap rencahnya, sempurna dan sungguh mantap sehingga berjaya menggetarkan seluruh jiwa dan ragaku. Banyak maklumat dan persoalan sebagai seorang muslimin dan muslimat dikupas sempurna dalam karya ini, bagaimana mendidik nafsu dan menyalurkan cinta halal dalam Islam dan seterusnya sehingga ijab qabul dilaksanakan. Di samping itu juga, banyak ilmu rumahtangga dan tips berguna yang dapat dijadikan sebagai ikutan, panduan, pedoman dan pengajaran untuk mendapat pahala dan keredhaan ALLAH di dunia yang fana ini. This is the best Islamic novel that I've ever read and its really worth to buy it  and Highly Recommended Book untuk yang belum, akan atau sedang  menempuh alam perkahwinan dan ingin menimba ilmu untuk menjadi seorang insan yang soleh dan solehah yang sentiasa mendapat keredhaan ALLAH SWT. Ya Allah kuatkan imanku dan bimbinglah aku untuk menjadi wanita dan isteri yang solehah, semoga dipermudahkan insya-Allah.


Hayati mutiara indah yang tertulis di dalam karya hebat ini :-

" Islam sememangnya menggalakkan kita untuk mencari rezeki, tetapi kemewahan bukanlah matlamat yang hakiki. Betapa ramai orang yang mampu membeli rumah yang mewah, namun tidak mampu membeli kebahagiaan di dalamnya. Betapa ramai orang yang mampu membeli tilam yang empuk dan mahal, namun tidak dapat membeli lena semasa tidur. Ramai orang yang mampu membeli makanan enak,  namun tidak dapat membeli selera semasa makan. Sebab itulah dikatakan, kemewahan harta bukanlah penentu kebahagiaan pada diri kita. "



kalau ingin tahu lebih lanjut tentang karya penulis boleh klik link ini ye ... Fatimah Syarha & Dr Farhan Hadi