Lelaki Itu Untukku




Penulis  : Mazni Aznita
Negara  : Malaysia
Bahasa  : Melayu
Genre    :  Malay Fiction / Cinta
Penerbit : Buku Prima Sdn Bhd
Bilangan Mukasurat : 691
Tarikh Terbitan : April 2014
ISBN : 978-967-0535-98-2
Rating : ★★







Ulasan :

Alhamdulillah syukur kerana dengan izinNYA aku masih diberi peluang "menyelongkar" karya kedua penulis yang baru sahaja aku kenali ini. Buku yang telah kubeli secara terus via fb penulis ini telah pun berada di tanganku sejak dua bulan yang lalu, namun baru kini dapat kuhadapnya. Ternyata selepas membaca setiap baris ayat dari karya yang sungguh syahdu ini membuatkan aku jadi sesak nafas lagi, bengkak mata tersedu sedan dan sakit dada. Satu lagi kisah realiti kehidupan yang sungguh menyentuh jiwa dan ragaku. Apa yang pasti aku memang sudah terpaut dengan gaya penulisan Cikgu, si penulis yang unik ini kerana cerita dan karyanya sungguh berbeza sekali dan ada daya tarikan yang tersendiri.


Sinopsis   

ORKED Harlina, anak tunggal ayahnya, tetapi tidak pernah ada istilah ditatang bagaikan minyak yang penuh oleh si ayah yang jelas-jelas membencinya. Mungkin kerana itu, dia menjadi gadis yang keras hati, suka melawan, sedikit ‘liar’ tetapi masih sekuntum bunga yang rapuh di pelosok hati.


 Apabila si ayah berkahwin dengan seorang janda anak satu, lagilah dia panas hati.Kes tidur lokap semalamnya kerana bergaduh di kelab malam, mempertemukannya dengan Idlan Riyaz, anak emak tirinya yang selama ini belajar di luar negara. Maka bertemulah buku dengan ruas. Idlan Riyaz yang sentimental, cool, penuh kematangan dan pandai ‘mengenakan’ membuatkan hati si bunga liar berasa menyampah. Dia tidak pernah punya seorang abang dan jelas, dia tidak ingin Idlan Riyaz menjadi abangnya. Takkan sekali!

 


Tetapi itu kata mulut. Hati di dalam paling tahu apa yang diingini. Apabila dia yang tidak pernah dilindungi tiba-tiba punya guardian angel, bukan dari syurga tetapi dari Kota London, siapa yang tidak mahu? Apabila dia yang tidak pernah dikasihi, tiba-tiba diberi perhatian, maka episod baru tercipta. Jadilah dia secret admirer abang tirinya sendiri. Dan kerana Idlan Riyaz, dia mula belajar untuk menyayangi, mempercayai dan menerima.
 
 
Dan kerana Idlan Riyaz juga dia kenal Tengku Emery Iskandar, si playboy a.k.a BFF Idlan Riyaz yang ada karakter yang Masya-ALLAH, kereknya mamat ini. Baginya, Idlan Riyaz lebih sempurna dan penyayang berbanding Tengku Emery Iskandar. Cuma satu sahaja dia harus akui, dalam tidak kesempurnaan Tengku Emery Iskandar di matanya, lelaki itu punya hati nurani yang luhur.


Satu kisah cinta luhur antara Idlan-Orked-Emery yang memang sungguh luarbiasa dan sejujurnya amat meruntun jiwaku ini. Membaca setiap baris ayat dalam keseluruhan karya ini memang membuatkan aku sebak dan pilu sehingga tidak mampu ku tahan air mata ini melimpah keluar. Penulis ini bukan sahaja berjaya mengadun jalan cerita yang penuh misteri serta menjadi tanda tanya, malah penuh dengan unsur kekeluargaan, persahabatan, dendam, cinta dan pengorbanan dengan persembahan bahasa yang mudah dan bersahaja TETAPI dalam waktu yang sama berjaya mencengkam pelbagai rasa di hati pembaca sewaktu membaca karya ini dari awal hingga akhir cerita.  Teknik penceritaannya juga penuh mendebarkan dan sentiasa membuatkan aku tidak "keruan". 

Karya ini bukan sahaja amat menyengat dan berbisa malah sarat dengan emosi dan berjaya membuatkan aku melekat dengan naratif penceritaannya sehinggakan aku dapat menjiwai watak-watak utama dalam karya ini dengan deraian air mata sehingga menyesak dadaku. Sejujurnya, watak Orked membuatkan aku berfikir lebih jauh akan setiap kebenaran dan penderitaan serta dugaan yang dihadapinya.  Tabahkan aku untuk menghadapi setiap kebenaran seperti Orked ? Mampukah aku menerima takdir yang sebegitu hebat ? Dapatkah aku bertahan dan meneruskan kehidupan seperti Orked ? Kesucian dan ketulusan kasih Idlan yang serba sempurna pasti menjadi dambaan bukan sahaja setiap gadis yang senasib seperti Orked malah yang tidak senasib dengannya juga pasti amat amat mendambakan insan sepertinya. Keluhuran dan pengorbanan kasih si romeo Emery pasti dapat menambat jiwa gadis yang lara dan duka nestapa. 

Aku kira setelah membaca karya CINTA SYAHDU HEBAT ini aku lebih mensyukuri nikmat yang telah aku peroleh sehingga kini. Sesungguhnya setiap yang berlaku ke atas insan di dunia fana ini perlu kita syukuri dan terimanya dengan berlapang dada. Setiap yang berlaku kepada kita itu pasti ada nikmat yang tidak terhingga dan hikmah yang tersembunyi. Sesungguhnya kita hanyalah insan yang serba kekurangan dan tidak sempurna dan seharusnya kepadaNYA kita sentiasa meminta dan berdoa. Semoga kita sentiasa berada di dalam rahmatNYA insya-ALLAH. Ammin. Wallahuallam.


Highly Recommended Book. PERFECT - cinta syahdu nan luhur


Dia Guardian Angel dari Kota London
Sempurna tiada tandingan
Namun hanya DIA yang tahu
Apa yang terbaik untukku di syurga insya-ALLAH



kalau ingin tahu lebih lanjut tentang karya penulis boleh klik link ini ye... Anita Aruszi / Mazni Aznita