Tuhan Masih Mencintaiku





Penulis  :  Lily Haslina Nasir
Negara  :  Malaysia
Bahasa  :  Melayu
Genre    :  Malay Fiction
Penerbit :  PTS Litera Sdn Bhd
Bilangan Mukasurat : 576
Tarikh Terbitan : 25 August 2010
ISBN : 978-967-408-208-6
Rating : ★★★★★






Ulasan :

Syukur Alhamdulillah kerana dengan izin-NYA sekali lagi, berjaya juga aku mendapatkan karya yang telah kucari-cari selama ini hinggakan aku terasa begitu hampa sekali sebelum ini setelah mendapat tahu karya ini sudah tidak dicetak dan tiada lagi di pasaran. Pencarianku akhirnya bertemu noktah setelah terlihat karya ini di ebook Malaysia portal e-sentral.com baru-baru ini. Lega sungguh rasanya walaupun karya ini tidak dapat ku pegang di tanganku sendiri tetapi tercapai jua hasrat hati untuk mengetahui sambungan dari karya pertama penulis hebat ini iaitu Menunggu Cinta Tuhan karya yang telah membuatkan aku jadi tidak keruan dan panas punggung orang kata...ha ha ha

Sinopsis

Azrul Rasyid mengalami perubahan 180 darjah dari segi sikap dan peribadi. Namun berhijrah dari kelaziman kepada sesuatu yang baru, segar dan lebih putih tidak semudah yang disangkakan. Ketika inilah ramai mengambil peluang membalas dendam dan memulangkan paku buah keras kepada Azrul. Hubungan dengan Khalida Atikah ada pasang surutnya. Dari meja hiburan yang sentiasa mengintai dan mengekori artis dan bermain dengan gosip, Azrul Rasyid, Khalida dan rakan lain sudah membuat tim baru. Mereka menyelongkar kisah getir masyarakat yang lebih menginsafkan. Malah Azrul dan Khalida berpeluang menyaksikan sendiri kegetiran pelarian perang sewaktu membuat liputan akhbar. Azrul berusaha mengumpul dana dan derma dari artis kenalannya dahulu untuk membantu mereka yang memerlukan. Akan tetapi ramai mempertikaikan... duit artis, duit hasil nyanyian. Apakah layak dijadikan sumbangan ke arah kebaikan?

Hidup peribadi Azrul Rasyid juga tertekan apabila kisah sejarah hitam ibunya menjadi buah mulut ramai. Baru kini Azrul memahami betapa sakitnya diri apabila difitnah dan dijadikan bahan gosip. Dia akhirnya mendapat tahu dia bukan anak kandung orang tuanya. Dia adalah anak yang tidak diingini. Ibunya satu ketika dahulu dirogol oleh bekas kekasih biarpun sudah bergelar isteri orang. Masalah bertambah sukar apabila yang kenangan bersama arwah Nureen sering menganggu tidurnya. Dosa silam tidak terbasuh dengan air mata biarpun saban malam dia menekur di sejadah memohon ampun. Cik Latifah yang sudah keluar dari wad sakit jiwa kembali mengganas. Dendamnya sampai mati!

Hanya kekuatan iman dan ketabahan yang luar biasa membantu Azrul Rasyid bangkit dari puing-puing luka cerita lama.

Setelah Azrul Rasyid Hakim, Ketua Meja Hiburan Akhbar Dinamik terselamat daripada runtuhan kondominium, dia mula berubah 180 darjah dan beralih arah dari bahagian Hiburan ke bahagian Prihatin dengan melakukan kerja-kerja kebajikan masyarakat dan kemanusiaan. Namun ia tidak semudah yang disangkakan. Bersama-sama anak buahnya Khalida Atikah, banyak halangan dan dugaan yang perlu ditempuh tidak kira dengan staf-staf di pejabatnya mahupun dengan masyarakat yang berada disekeliling untuk merealisasikan impian barunya itu. Dalam waktu yang sama juga, dia dikejutkan pula dengan berita yang sungguh memalukan dan merasa diri begitu hina tentang dirinya anak yang tidak sah taraf. Satu persatu dugaan dan ujian yang terpaksa dihadapi oleh Azrul demi mendapatkan hijrah yang hakiki. 
Azrul yang suatu ketika dahulu sering memaki hamun dan memarahi Khalida Atikah, anak buahnya seorang wartawan muda yang baru bekerja dibawahnya mula menerima kehadirannya dan sering dijadikan sebagai tempat untuknya meluah rasa dan mengadu segala keresahan di hati. Walaupun Khalida digambarkan Azrul budak lurus bendul mengalahkan kelurusan Lebuh Raya Utara Selatan, namun banyak pandangan dan kata-kata yang diucapkan Khalida telah berjaya menyedarkannya sekaligus berjaya mengubah sikap dan perangainya dan seringkali membuatkannya kelu tanpa kata. Azrul akhirnya dapat menelan segala kepahitan dan dapat menerima setiap kenyataan dan takdir dirinya. Okey aku tidak mahu cerita lebih-lebih, apa yang boleh aku beritahu aku memang suka dengan akhiran cerita ini. Akhirnya Azrul menyunting Khalida....

Pendapat peribadi aku, penulisan Lily memang sungguh luarbiasa, tajam dan sungguh berbisa sekali. Penulis bukan sahaja berjaya menyingkap sisi gelap masyarakat Melayu yang begitu sinonim dengan amalan sihir dan hasad dengki malah berjaya mengheret pembaca untuk sama-sama insafi diri akan dosa-dosa yang telah kita lakukan sepanjang usia kita ini. Bertaubatlah dan pulang ke pangkal jalan dengan keindahan Islam cahaya yang menunjuk arah beriman kepada ALLAH swt. Yakini bahawa setiap ujian yang diberi kepada kita dan segala yang berlaku itu hanya ALLAH yang lebih mengetahui. Tiada manusia yang sempurna di dunia ini. Tentunya cinta Tuhan adalah cinta yang paling indah dan sempurna. Cinta yang paling harum tanpa bandingan. Semoga karya ini dapat dijadikan teladan dan ikhtibar buat pembaca dan semoga kita semua dapat sama- sama memperoleh kebaikan dan manfaat dari karya ini. Terbanglah mencari cinta Tuhan. Hanya cinta Tuhan yang hakiki. Percayalah Tuhan Masih Mencintaiku dan kamu !



...Terima kasih ya Allah, kasih sayang yang Engkau berikan...

...Terima kasih ya Allah, di atas kudrat yang Engkau pinjamkan...



kalau ingin tahu lebih lanjut tentang karya penulis boleh klik link ini ye ... Lily Haslina Nasir  




Schubert's Serenade




Penulis  :   Hlovate
Negara  :  Malaysia
Bahasa  :  Melayu
Genre    :  Malay Fiction
Penerbit :  Jemari Seni Publishing
Tarikh Terbitan : 2007
ISBN : 978-983-43217-5-8
978-967-5118-24-1
978-967-5118-24-1
978-967-5118-24-1
Rating : ★★★★★







Ulasan :

Schubert's Serenade ini  merupakan salah satu ceritera pendek  yang terkandung di dalam buku 'Gurindam Jiwa' yang menghimpunkan karya tiga penulis iaitu Hlovate, Imaen dan  Noor Suraya.


Karya ini mengisahkan tentang Ju'a (Najwa) dan adik lelakinya Ucop yang terpaksa menerima kehadiran dua ahli baru dalam keluarganya setelah mamanya berkahwin dengan seorang duda anak satu. Kemunculan seorang abang tiri bernama Shah secara tiba-tiba telah memberi kesan yang begitu ketara dalam kehidupan keluarga barunya itu. Perasaan marah dan janggal beransur-ansur hilang setelah Ju'a mula dapat menerima kehadiran seorang abang yang amat mengambil berat tentangnya. Ju'a mula dapat menerima abang Shah sebagai abang tirinya dan sentiasa menjaga batas dan aurat ketika bersama abang Shah. Berkongsi minat yang sama, sikap ambil berat dan kasih sayang yang ditunjukkan oleh abang Shah telah berjaya mengubat dan mengisi kekosongan setelah kehilangan ayah yang tercinta ketika dia masih kecil lagi. Berita tentang kehamilan mamanya telah menyebabkan Ju'a dan abang Shah merancang untuk sama-sama memberi nama adik baru mereka. Namun kegembiraan dengan kelahiran adik baru itu tidak dapat dikongsi bersama dengan abang Shah yang telah terlibat dalam kemalangan jalan raya sewaktu dalam perjalanan ke hospital. Kematian abang Shah seperti telah meragut semua kegembiraan di hati Ju'a. Jadi, kalau nak tahu apakah yang terjadi seterusnya kepada Ju'a, kena baca cerpen ini ye....

Karya ini aku baca secara online di www.e-sentral.com iaitu e-book Malaysia portal. Alhamdulillah lengkap sudah kesemua karya Hlovate kubaca akhirnya. Pendapat peribadi aku, tajuk karya ini nampak macam biasa-biasa sahaja dan mungkin nampak macam kurang menarik untuk dibaca. Tetapi setelah aku baca keseluruhan isi cerita dalam karya ini, jujur aku katakan kisah ini memang betul-betul menyentuh perasaan dan memang meruntun jiwa pada siapa yang membacanya. Bukan hanya buat aku rasa sebak tetapi boleh menitiskan air mata dan seperti aku dapat menjiwai watak dan perasaan Ju'a ni. Karya ini walaupun dengan penggunaan bahasa yang biasa sahaja tetapi penuh maksud tersirat dan tersurat dan mengundang pelbagai rasa dihati pembaca. Karya yang bukan sahaja dapat mendidik malah dapat menyedarkan dan seterusnya mengajak pembaca untuk sama-sama  mendekatkan diri kepada penciptaNya dan beriman dengan qada' dan qadarKarya Hlovate memang akan membuatkan jantungku berdegup dengan lebih kencang setiap kali aku cuba menghadam karyanya. Apa yang pasti setiap karyanya mesti ada suatu kelainan dan ada mesej tertentu yang ingin disampaikan kepada pembaca. Dan setiap mesej itu memang berjaya 'ditembak' dan terbenam terus ke dalam lubuk hatiku ini.

 Kalau tidak percaya cubalah baca sendiri karya Hlovate ini ye.



  

Hayati mutiara indah yang tertulis di dalam karya hebat ini :-

"... Hilang seseorang dalam hidup bukan alasan untuk kita pun stop living. Kita bukan selama-lamanya duduk atas dunia ni sampai bila-bila. Siapa tahu, mungkin esok lusa giliran kita pulak. Percaya dengan janji tuhan ..."

"...And we have to live on. Live a happy life. For them ..."

"..Cara terbaik untuk mendoakan orang yang dah tak ada dengan kita ...
Doakan kebajikannya di alam kubur dan di akhirat, mohon diampunkan dosanya, mohon dipelihara mereka dari azab kubur, azab Mahsyar, azab akhirat dan api neraka. Kita mohon agar dilapangkan kubur mereka dengan rahmat-Mu ya Allah, diterangkan kubur mereka dengan Nur-Mu ya Rahman, temankan mereka dengan kasih sayang-Mu ya Rahim ..."

"... Doa itu penghubung paling kuat antara kita dan mereka yang dah pergi meninggalkan kita ..."

"... Dan sedekahkan apa yang membawa manfaat, yang boleh meringankan azab mereka di sana. Ayat-ayat suci al-Quran yang paling baik ..." 







 

The Unsung Hero




Penulis  :  Melur Jelita
Negara  : Malaysia
Bahasa  : Melayu
Genre    : Malay Fiction / Cinta
Penerbit : Karya Seni
Bilangan Mukasurat : 1156
Tarikh Terbitan : September 2014
ISBN : 978-967-0246-80-2
Rating : ★★★★★






Ulasan :

Syukur Alhamdulillah kerana dengan izin-NYA sekali lagi aku telah diberi kesempatan untuk membaca dan menghayati karya terbaru penulis favourite aku yang hebat ini. Seperti dua karyanya yang terdahulu, MJ berjaya menjulang nama PDRM aka "Abang Pedas" sehingga menyedarkan aku untuk menghormati dan menyanjung tinggi mereka yang bergelar POLIS ini. Kini, MJ mengangkat pula martabat para pejuang terhebat negara Komando VAT 69 wira  yang tidak pernah kukenali mungkin juga oleh masyarakat malah tidak pernah terfikir oleh kita akan kewujudan mereka. Namun hakikat yang perlu kita sedar mereka ini sebenarnya adalah pahlawan negara yang berjuang berkorban nyawa untuk agama, bangsa dan negara tanpa mengharapkan balasan, imbuhan dan pingat demi memastikan negara yang kita cintai ini dapat kita diami dengan tenang, aman dan damai.  Inilah wira yang tidak pernah kita dendang. Adakah kita sedar tentang keadaan ini ? Adakah kita hargai apa yang kita kecapi tika ini ? Mampukah kita mengecapi keadaan seperti sekarang tanpa mereka ? Tepuk dada tanya selera...



Dan Dia mengajar manusia apa yang tak diketahuinya... ayat 5, Surah al Alaq

Kissing cousin?
Huh?!
Bagi Deraman tak berdosa.

Bagi Blackswan, sangat berdosa!
Sumbang mahram! Dari Blackswan bertukar kepada angry bird.
Sombong menonggek!

Blah cam tu je dari Deraman, lelaki serigala jadi-jadian!

Ketika semua kesayangan ditarik dari seorang insan, dia tewas. Tapi seorang insan yang terpilih untuk diuji oleh Allah SWT, sebenarnya memiliki jiwa juang yang sangat kental. Allah pilih, Allah uji kerana dia mampu. Lihatlah bila satu jiwa yang tewas kemudiannya reda dengan ketentuan Allah bangkit menjadi jiwa baru. Dia harus kuat! Kerana itulah satu-satunya pilihan yang ada.

Kisah kejiwaan yang sangat meruntun hati di antara sepasang sepupu yang dipaksakan hubungan adik-abang dari kecil. Maryam akur. Irvan enggan. Mereka terpisah dengan satu janji. Tetapi janji itu dimungkiri dengan kehadiran Riyaz.
Hoo rat! Riyaz sangat berani. Seorang putera raja berkuda putih! 

 

Maryam, sang perawan yang pemalu, dipingit rapi dengan penuh adab dan bicara tewas kepada seorang pemuja. Hatinya telah dipesona Riyaz yang berani melanggar sempadan pingitan bak dan bunda.

Irvan, Maryam, Riyaz, Haziq, bak dan bunda, di sinilah couple seminit bermula...
Maryam : “Hutang boleh?”
Irvan : “Hutang kasih? Ada bunganya nanti... kalau lambat sangat bertangguh.”
“Apa bunganya?”
“Nanti abang cakap... tapi yang pasti hutang kasih tu akan berbunga sayang.”



Setelah baca karya ini, apa yang dapat aku katakan buku ini sememangnya penuh dengan ilmu. PERFECT. AWESOMENESS. Tidak perlu aku nak cerita panjang dan komen meleret. Kena beli buku MJ ini dan hayatinya sendiri. MJ bukan sahaja berjaya mengadun kisah kekeluargaan yang amat rapat terjalin yang sungguh indah di mata dan berbunga di hati malah seperti mendidik dan memperlihatkan kasih sayang dalam watak-watak utama dengan penggunaan dialek Kedah dan Kelantan dengan sungguh mempersonakan sekali. Lenggok bahasa yang digunakan bukan sahaja indah dan manis malah seperti menggamit pembaca untuk memahami dengan lebih dekat lagi. Teknik penceritaannya sering menjadi tanda tanya, penuh mendebarkan dan sarat dengan aksi mahupun emosi sekaligus mencengkam pelbagai rasa di hati pembaca. Karyanya memang buat aku sentiasa tidak 'keruan' dan 'panas punggung'. Memang berjaya membuatkan aku melekat dengan naratif penceritaan yang begini. 

Kisah wira Very Able Trooper VAT 69 Nur Muhammad Irvan aka Debak, Deraman, Abang One (The Chosen One) aka HERO dan Tun Maryam Keumalahayani aka Blackswan, si budak telur separuh masak yang sungguh menyentuh rasa, penuh berilmu dengan kata-kata semangat dan nasihat maksud tersurat dan tersirat. Banyak panduan dan tips berguna buat para isteri lebih menyayangi, menghormati dan memuliakan suaminya dan para suami membahagiakan isterinya. Kita akan rasa sungguh terharu, terhutang budi dan nyawa dan amat bangga sekali dengan HERO dan ahli keluarga mereka.  Malah buat kita rasa ingin jadi wira VAT 69 atau jadi sebahagian daripada ahli keluarga mereka. Kisah yang sungguh patriotik dan buat aku sedar betapa bertuahnya aku dilahirkan sebagai anak Malaysia dan buat aku rasa lebih cintakan negaraku ini. Ayuh bangun anak bangsa berdaulat, mari kita sanjung, kenang dan dendang wira-wira negara kita sendiri. Kenali mereka dan hargai setiap pengorbanan dan jasa yang dicurah. Mari kita sama-sama menjaga dan mempertahankan tanah tumpah tanahair tercinta ini. Syabas dan tahniah MELUR JELITA kerana berjaya melahirkan sebuah karya penuh dengan ilmu yang sungguh luarbiasa dan amat berbeza sekali. Walaupun karya ini mengadun kisah kasih sayang syahdu yang sungguh manis dan membuatkan aku tersenyum meleret tersipu malu namun ia berjaya membuka mata dan mindaku tentang kewujudan The Unsung Heroes ini. Karya ini telah berjaya menaikan semangat patriotikku dengan begitu hebat dan terkesan sekali. Terima kasih yang tidak terhingga diucapkan atas usaha murni MJ ini. Hanya Allah swt yang dapat membalas atas usaha murni MJ. Semoga MJ sentiasa berada di dalam rahmatNYA dan teruskan dengan karya HERO yang lebih menyengat dan meletops. Aku sangat berharap kisah ini ada sambungan ceritanya kerana seperti ada lagi kisah tentang Riyaz dan kematian bonda Mariam yang menjadi tanda tanya dan persoalan di mindaku ini.


...inilah lagu Perwira nyanyian Almarhum Seniwati Saloma untuk HERO yang tercinta...




...ini pula lagu Warisan nyanyian Almarhum Sudirman untuk semua peyambung warisan...