Stanza Cinta




Penulis  :  Nurull Halawati
Negara  :  Malaysia
Bahasa  :  Melayu
Genre   :  Cinta
Penerbit : Galeri Ilmu
Bilangan Mukasurat : 406
Tarikh Terbitan : 2010
ISBN : 978-983-097-244-2
Rating :  
 

Ulasan :

Syukur Alhamdulillah kerana dengan izin-Nya aku telah diberi kesempatan dan terpanggil untuk membaca dan menghayati karya yang sungguh hebat ini. Stanza Cinta adalah karya pertama penulis hebat ini yang baru sahaja aku kenali dan baca. Pada mulanya aku memang kurang faham maksud tajuk karya hebat ini. Setelah aku selidik rupanya maksud Stanza ialah rangkap, bait atau beberapa baris atau dalam bahasa Inggeris maksudnya Verse of Poetry. Jadinya maksud Stanza Cinta ini ialah Beberapa Baris Cinta lebih kurang macam tu lah yang aku faham. Walaupun tajuknya dan lakaran gambar muka depan karya ini nampak seperti agak biasa-biasa je dan seperti kurang menarik tetapi setelah aku 'belek' karya ini baru aku tahu sebenarnya karya ini memang punyai auranya yang tersendiri. Aku kira karya ini memang begitu membuai rasa dan meruntun jiwa pada sesiapa sahaja yang dapat menghayati jalan cerita karya yang sungguh luarbiasa ini. Pendapat peribadi aku, karya ini boleh di kategorikan sebagai novel tarbiah unik yang boleh dijadikan sebagai panduan dan motivasi dalam melayari kehidupan yang penuh ujian yang mencabar ini.


Kisah yang bukan sahaja mampu menyentuh dan melentur setiap hati dan jiwa beku malah dapat membuka minda supaya menghadam kisah ini untuk dijadikan sebagai pedoman dan pengajaran kepada para pembaca. Banyak kata-kata nasihat berupa mutiara kata, hadis dan sunnah Nabi yang dapat dijadikan sebagai makanan kepada jiwa yang kosong untuk para gadis dan teruna di luar sana. Bacalah dengan mata hati dan mata akalmu, insya Allah pasti akan beroleh jawapan disebalik apa yang berlaku kepada kita. Semua yang berlaku kepada kita adalah hanya dengan izin Allah. Subhanallah. Setinggi-tinggi penghargaanku dan ucapan terima kasih kepada penulis hebat ini kerana telah berkongsi dan berjaya menghasilkan sebuah karya yang sungguh hebat dan padat sehingga mampu menggetarkan setiap rasa pembaca. Yang pastinya sepanjang aku membaca setiap baris ayat dari karya yang sungguh syahdu ini membuatkan aku menitis air mata tanpa henti hingga bengkak mata tersedu sedan dan sakit dada. Yakini setiap yang berlaku kepada kita itu pasti ada hikmah yang tersembunyi dan terima dengan berlapang dada. Alhamdulillah setelah baca karya hebat ini aku mulai faham akan maksud sebenar sabar dan redha itu. Ya Allah bantu aku agar menjadi hambaMU yang sabar dan redha dengan setiap ketentuanMU, insya Allah. Sesungguhnya kita hanyalah makluk yang diciptakan ALLAH serba kekurangan dan tidak sempurna dan seharusnya kepadaNYA kita sentiasa perlu meminta dan berdoa tanpa jemu. Semoga kita sentiasa berada di dalam rahmatNYA insya-ALLAH. 



Sinopsis

"Kebaikan itu dibungkus oleh hal-hal yang tidak disukai"

Kisah Amni Sorfina yang sentiasa berdoa agar ditemukan dengan seorang lelaki yang mampu membimbingnya, bukan lelaki yang dia perlu bimbing.
Pertemuan pertama kali dengan Taufiq Imran yang berasal dari Bandung telah melahirkan suatu perasaan cinta yang mendalam. Amni berkenalan dengan Irfan Ikmal dan berasa bertanggungjawab membimbing Irfan ke jalan yang lurus. Tetapi perlukah dia mengorbankan cintanya yang terlalu mendalam buat Taufiq, demi menunaikan sekeping janji dan amanah? Atas sebab halangan dari pihak keluarga Taufiq di Bandung Indonesia, pernikahan antara Amni dan Taufiq tidak dapat diteruskan. Kesedihan dan patah hati Amni telah diubati oleh Irfan Ikmal yang menaruh hati pada Amni sejak mereka kenal semasa belajar di Universiti. Irfan telah melahirkan hasrat hati dan mereka akhirnya bertunang. Namun sehari selepas itu, Irfan telah jatuh sakit dan dimaklumkan mengalami SLE. Hasrat untuk menyatukan cinta mereka tidak kesampaian apabila Irfan dijemput Ilahi kurang satu bulan dari tarikh pernikahan mereka. Kehilangan Irfan telah merentap segala harapan dan kegembiraan dari hidup Amni. Berhadapan dengan saat paling sukar dalam hidupnya, Amni harus belajar tersenyum dalam derita dan bersangka baik dengan segala takdir Allah buatnya. Apakah ini bermakna dia harus melepaskan pergi sesuatu yang paling diinginkan, yang sejak sekian lama baru ditemui? Selama setahun Amni cuba menerima kehilangan Irfan dan takdir yang telah berlaku dalam hidupnya. Taufiq tiba-tiba muncul kembali menyatakan hasrat hati setelah mendapat izin keluarganya dan bersedia untuk menikahi Amni. 


Highly Recommended Book. PERFECT


 ... Kisah Hati - Alyah ...






 Hayati mutiara indah yang tertulis di dalam karya hebat ini :-


 " Tiada yang lebih kuimpikan melainkan sebuah keluarga sakinah, mawaddah dan barakah yang diredhai Allah SWT. Aku ingin melayari bahtera ini dengan segala cinta yang kumiliki atas nama Allah "

" Tuhan, izinkan kami menjadi pasangan yang berbahagia bukan sahaja di dunia ini tetapi juga pasangan yang saling mencintai di negeri akhirat-MU. Amin "

" Ada 7 petanda kebahagiaan dunia :
Qalbun Syakirun - hati yang selalu bersyukur
Al-Azwaju Solihah - pasangan hidup yang soleh
Al-Auladul Abrar - anak yang soleh
Al-Biatus Solihah - lingkungan yang kondusif untuk iman
Al-Malul Halal - harta yang halal
Tafakkuh fid-Din - semangat untuk memahami agama " ~ Ibnu Abbas RA



kalau ingin tahu lebih lanjut tentang karya penulis boleh klik link ini ye ... Nurull Halawati




No comments:

Post a Comment